Jumlah pelatih inspektor dan konstabel,  Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan virus Adeno kini meningkat kepada 720 orang berbanding 560 pelatih semalam.

Bagaimanapun jumlah pelatih  yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan virus itu berkurangan kepada 24 orang hari ini berbanding 32 orang semalam.

Komandan Pulapol SAC Zulkifli Mohamed berkata 24 pelatih itu termasuk seorang pelatih yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Mereka yang masih dirawat dalam wad ialah lima pelatih wanita, lapan pelatih lelaki dan konstabel seramai 11 orang, termasuk seorang lagi pelatih (konstabel lelaki) yang masih berada dalam ICU menjadikan jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas.

Zulkifli berkata jumlah pelatih yang menjalani pengasingan di dalam Pulapol di Jalan Semarak di Kuala Lumpur pula meningkat daripada 584 pada Khamis kepada 720 orang semalam.

Katanya enam daripada 720 orang yang menjalani pengasingan itu merupakan kakitangan Pulapol.

Jangkitan virus 'Adeno' dilaporkan merebak di kalangan pelatih Pulapol sejak 4 Mac lalu hingga mengorbankan seorang pelatih berumur 21 tahun dari Kuala Kangsar, Perak, yang meninggal dunia di HKL pada Selasa lalu.