Semua pihak menyuarakan kebimbangan masing-masing terhadap masalah sosial yang melanda masyarakat, tetapi bagi sebahagian mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), subjek itu diangkat melalui cara lebih kreatif, iaitu persembahan teater.

NONE Memilih naskhah pengarah terkenal Aminah Raphor berjudul "Tanah Bernanah", sekumpulan mahasiswa Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik universiti itu akan menjayakannya di Auditorium Muzium Negara, Kuala Lumpur bermula 1 April depan.

"Dalam teater ini, banyak isu diangkat. Ia memaparkan pergolakan dalam masyarakat, yang turut melibatkan mahasiswa," kata jurucakapnya Zaryzar Jaafar sambil memberitahu sasaran utama mereka adalah golongan muda.

Bercakap kepada Malaysiakini , Zaryzar berkata kesemua tenaga produksinya terdiri daripada pelajar yang sekali gus dipercayai dapat membentuk mereka lebih matang menghadapi cabaran dan membentuk displin diri.

Tanah Bernanah mengisahkan kehidupan sosial di sebuah setinggan yang menyedihkan sehingga ada daripada mereka mencari rezki dengan berkhidmat sebagai "tukang tilik tapak tangan lelaki" atau pelacur.

Dipentaskan selama tiga hari, teater bercorak realisme sepanjang 90 minit itu diarahkan oleh pelakon muda Harith Shah Idris Hamshah yang pernah teribat menjayakan beberapa drama, antaranya Tersasar Di Jalanmu karya Erma Fatima.