Azmin: SNAP masih dengan Pakatan
Timbalan presiden PKR, Azmin Ali menafikan laporan sebuah akhbar media perdana hari ini yang SNAP telah menutup pintunya kepada PKR berhubung rundingan agihan kerusi di Sarawak.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa SNAP masih bersama Pakatan
Rakyat dan rundingan tersebut akan diselesaikan akhir minggu ini.
Akhbar New Straits Times hari ini menyiarkan di muka depannya kenyataan presiden SNAP, Edwin Dundang bahawa rundingan antara parti itu dengan PKR telah gagal dan kedua-dua pihak tidak akan bekerjasama dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
Akhbar itu memetiknya sebagai berkata SNAP tidak lagi berminat untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan PKR.
Bagaimanapun Azmin (kanan), yang berada di Kuching, memberitahu Malaysiakini petang ini bahawa beliau baru saja mengadakan pertemuan dengan pemimpin SNAP yang diketuai setiausaha agungnya, Stanly Jugoh, yang telah memberi jaminan bahawa SNAP akan bersama Pakatan dalam menghadapi pilihan raya negeri.
Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan pertama dengan pemimpin SNAP semalam dan menghadiri pertemuan kedua pagi ini.
Sambil menyifatkannya sebagai satu perbincangan yang berhasil
tentang persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri, Azmin berkata, PKR and SNAP berbincang mengenai agihan kerusi dan calon.
Bercanggah dengan laporan New Straits Times , Azmin menegaskan bahawa beliau “sangat gembira dengan hasil pertemuan tersebut” tetapi tidak menyatakan butirannya.
“Saya akan memberi taklimat kepada biro politik PKR (tentang rundingan tersebut) Rabu ini, kemudian kembali semula ke Sarawak pada hari Khamis untuk susulannya.”

