Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarat kewarganegaraan tidak dilonggar
Diterbitkan:  Mar 23, 2011 3:22 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Kerajaan tidak sewenang-wenangnya boleh melonggarkan syarat untuk memberi hak kewarganegaraan kepada mana-mana individu semata-mata bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata segala proses kelulusan permohonan itu adalah tertakluk kepada Perlembagaan.

NONE "Dalam dunia tanpa sempadan ini, sekiranya ada kes-kes tertentu yang menyalahgunakan sistem, ia akan membawa bersama jenayah serius seperti penyeludupan dadah, bayi dan senjata, ada kaitan dengan 'money laundering' dan ada kaitan dengan keganasan.

"Dalam konteks keselamatan negara, perkara ini tidak boleh diambil mudah semata-mata bagi mempercepat dan memastikan proses ini efisien dan mencapai sasaran yang kita harapkan," katanya menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

fong po kuan Fong dalam soalannya ingin tahu sebab permohonan taraf kewarganegaraan yang ditolak dan sama ada terdapat kelonggaran syarat yang memberikan hak kewarganegaraan dalam permohonan taraf kewarganegaraan.

Hishammuddin berkata wakil rakyat harus memahami dan mengimbangi kehendak rakyat dan proses (kelulusan kewarganegaraan) sedia ada supaya tidak timbul isu keselamatan dalam keadaan dunia yang semakin sempit kini.

tiong king sing Menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Hishammuddin berkata kementerian tidak menghadapi masalah dalam memproses permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia selagi permohonan itu lengkap dan memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata bagi kes-kes yang meragukan seperti sesuatu perkahwinan yang didaftar setelah kelahiran seseorang kanak-kanak, kementerian akan menggunapakai keputusan ujian sampel DNA bagi mengesahkan pertalian darah untuk membuktikan hubungan di antara ibu bapa dengan kanak-kanak itu.

NONE "Kaedah ini adalah bagi membantu kementerian membuat keputusan yang tepat," katanya menjawab soalan Tiong sama ada kementerian menghadapi masalah meluluskan permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A (Keadaan Khas bagi kanak-kanak di bawah umur 21 tahun) Perlembagaan Persekutuan dan jumlah permohonan yang diluluskan.

Hishammuddin berkata sebanyak 3,042 permohonan diluluskan tahun lalu bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A sejak 2007 hingga 2009.

"Jumlah untuk taraf kewarganegaraan bukan jumlah yang kecil. Pada 2009, sebanyak 32,927 permohonan selesai diproses manakala pada 2010, permohonan yang diproses ialah 29,677," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS