Syarat ketat terhadap pembekal susu 1Malaysia
Kementerian Pelajaran telah menetapkan syarat yang ketat terhadap empat syarikat yang dipilih untuk membekalkan susu 1Malaysia kepada murid-murid di bawah program Rancangan
Makanan Tambahan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Puad Zarkashi berkata empat syarikat berkenaan bertanggungjawab dari aspek pemprosesan, penyimpanan hingga ke peringkat pemberian susu kepada murid-murid di sekolah.
"Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan yang mengawal dari segi pengilangan, penyimpanan dan sebagainya.
"Jabatan Haiwan pula bertanggungjawab di ladang untuk pastikan sumber dari lembu memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pastikan kualiti susu yang diberikan kepada pelajar tidak mendatangkan masalah," katanya menjawab soalan Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk memastikan susu 1Malaysia tidak mendatangkan masalah kepada murid-murid.
Puad berkata program susu 1Malaysia bertujuan memastikan murid-murid menerima gigi seimbang dalam menjana kesihatan yang cerdas dan cergas.
Katanya melalui program itu, murid-murid yang terpilih akan menerima dua kotak susu dalam seminggu.
Beliau juga berkata kerajaan memperuntuk RM170.9 juta bagi menjayakan program tersebut yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.4 juta orang murid.
- Bernama

