Abang Johari: Pakatan Rakyat kian lemah
BN Sarawak yakin Pakatan Rakyat tidak mampu memberi saingan sebagai satu kuasa gabungan pada pilihan raya negeri kali ini.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, berkata ini kerana, pakatan yang disertai PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), DAP dan PAS itu masih bertelagah mengenai agihan kerusi.
"Tidak ada tanda-tanda mereka akan bertolak ansur dalam masa terdekat dan ini menjejaskan hubungan mereka.
"Berdasarkan perkara ini, saya tidak fikir mereka mampu menentang kita sebagai satu kuasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Perumahan Mesra Rakyat, di Kampung Nelayan, di Mukah hari ini.
Abang Johari berkata, perebutan kerusi bukan saja membabitkan PKR dan Snap bagi kerusi di kawasan luar bandar yang bermajoritikan penduduk bumiputera, malah membabitkan PKR dan DAP bagi kerusi kawasan bandar.
"Semua ini jelas menunjukkan pakatan itu semakin runtuh," katanya.
Terdahulu semasa berucap, beliau menyeru masyarakat agar memastikan semua calon BN termasuk Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian, menang pada pilihan raya 16 April ini.
- Bernama

