P Pinang tuan rumah konsert 'Rock 4 Rights'
Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (BCCLC) akan menganjurkan sebuah konsert tanpa berhenti selama 12 jam serta karnival di Pulau Pinang pada hari Sabtu ini, 2 April.
Dinamakan "Rock 4 Rights', ia dianjurkan dengan kerjasama seniman indie tempatan, Frinjan , dan Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM).
Disokong oleh Yes, syarikat penyedia perkhidmatan 4G, portal berita popular Malaysiakini, karnival itu akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua
Menteri II, Dr P Ramasamy pada jam 8 malam di Fort Cornwallis.
Pengerusi BCCLC, Syahredzan Johan berkata melalui inisiatif unik itu, jawatankuasanya berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai konsep pilihan raya dan demokrasi untuk artis tempatan dan belia berusia 18 hingga 35 tahun.
“Juga diharapkan ia dapat meningkatkan penyertaan belia dalam proses politik Malaysia melalui pendaftaran pengundi sewaktu konsert dan
acara-acara lain berlangsung," tambahnya.
“(Kami juga berharap akan mendapat) liputan media dan publisiti yang lebih mengenai isu-isu berkaitan dengan perlembagaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejumlah 18 kumpulan band ditampilkan, termasuk mereka yang membuat persembahan untuk Radio Demokratika and album Bangkit yang diterbitkan oleh SABM dan Frinjan.
Album-album tersebut ditulis dan dipersembahkan oleh kumpulan band bebas tempatan, yang menampilkan lagu-lagu dengan mesej berkaitan hak manusia, demokrasi dan mengenai perlembagaan.
'Penampilan istimewa' band tempatan - Bittersweet dan Couple - serta naib presiden PKR dan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (foto, kanan) dijangka menjadi acara kemuncak konsert.
Acara-acara lain termasuk pertunjukan seni, tayangan filem, jualan barang-barang seni dan kraf oleh pengusaha tempatan, dan tempat pendaftaran pengundi.

