Sekumpulan peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh, dekat Gua Musang mendakwa tanah mereka dirampas kerajaan Kelantan menerusi pengeluaran geran baru kepada individu lain.

    

Hari ini kumpulan yang terdiri kira-kira 100 orang itu berpiket secara aman bagi menghalang pemilik geran memasuki ladang getah seluas 479 hektar tersebut dan mengutip hasil.

    

Ketua peneroka RKT itu Abdul Aziz Mohamad berkata peneroka terbabit hanya mempertahankan hak mereka memandangkan tanah tersebut telah diserahkan Kesedar kepada mereka sejak 1995.

    

"(Namun) setakat ini sudah ada 26 individu tertentu termasuk dari jajahan Tumpat memiliki geran tanah terbabit dan kerajaan negeri dalam proses mengeluarkan 30 geran lagi termasuk 10 dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama.

    

Tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan individu yang berkenaan datang ke ladang getah tersebut sekalipun tidak tahu sempadan tanah yang dikatakan milik mereka, katanya.

    

Beliau yang mewakili peneroka terbabit turut meluahkan rasa hairan dengan sikap kerajaan negeri yang dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan geran tersebut kepada pihak yang tidak berkenaan.

    

Ini kerana katanya, Kesedar telah membayar premium tanah tersebut kepada kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.

    

"Kita tidak akan menyerah secara mudah tanah ladang getah itu kepada orang yang menerima geran hak milik kerana mereka bukan pada kalangan peneroka RKT Kesedar terbabit," katanya.

    

Sementara itu, Pengurus Besar Kesedar Mohd Arshad Ismail yang dihubungi mengaku pihaknya telah membuat bayaran premium hampir RM500,000 beberapa tahun lepas setelah diarahkan kerajaan negeri pimpinan PAS tersebut.

- Bernama