Zuhari letak jawatan pegawai p'raya PKR K'tan
Pegawai khas pilihan raya PKR Kelantan, Zuhari Che Mat meletak jawatan serta-merta kerana tidak puas hati dengan parti itu yang didakwanya lebih suka menjadi 'tali barut' kepada parti PAS.
Beliau yang juga seorang ahli perniagaan berkata surat peletakan jawatannya sudah dihantar kepada Pengarah jentera pilihan raya PKR Kelantan semalam, lapor Bernama
"Sepanjang saya menyertai parti itu sejak dua tahun lalu, saya dapati parti berkenaan hanya menjadi pak turut kepada parti PAS dengan
mengetepikan prinsip perjuangan," katanya kepada pemberita di Pasir Puteh hari ini.
Beliau mendakwa PKR sendiri pula tidak mempunyai perjuangan yang jelas untuk membela nasib bangsa dan pucuk pimpinan tertinggi pula tidak mempunyai fikiran terbuka serta gagal menyelesaikan kemelut yang timbul walaupun perkara remeh-temeh.
Katanya, sebagai contoh daripada empat kuota pelantikan anggota Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) untuk PKR, satu daripadanya diberi kepada orang luar daripada kawasan Pasir Puteh.
"Jadi bagaimana individu terbabit boleh menyelesaikan masalah rakyat di Pasir Puteh sedangkan beliau tidak tahu apa-apa kehendak dan masalah rakyat setempat," katanya.
Sementara itu Bernama juga melaporkan seramai 121 anggota DAP hari ini keluar parti dan menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Mereka yang diketuai oleh Pengerusi DAP Batang Sungai Limbang Kahar Awang Daud menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas Taib merasmikan pembangunan fasa pertama bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa Limbang.
Walaupun 121 menyatakan keluar parti, hanya 73 orang yang dapat hadir di acara tersebut.
Bagaimanapun punca utama mereka keluar parti masih tidak diketahui.
Dalam pilihan raya negeri 2006, BN menguasai kesemua empat kerusi DUN di Limbang dan Lawas iaitu Bukit Kota dan Batu Danau (Parlimen
Limbang) serta Ba'kelalan dan Bukit Sari (Parlimen Lawas).
- Bernama

