Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Bangkitkan lagi isu Interlok berniat jahat
Diterbitkan:  Mar 31, 2011 6:51 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbuatan pihak tertentu yang terus membangkitkan soal mengenai novel Interlok amat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat kerana isu itu sudah selesai.

NONE Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak berhubung isu itu kerana keputusan muktamad telahpun dicapai.

"Sudah kita umumkan (penyelesaiannya) dalam Parlimen dan sudah dipersetujui, jadi kita akan pegang pada itu.

"Ada parti-parti pembangkang mengekploitasi isu itu dengan menonjolkan beberapa badan bukan kerajaan untuk menyuarakan sekali lagi bantahan, mungkin kerana pilihan raya yang akan berlangsung," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan wang ihsan mangsa banjir di kawasan Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan di Pagoh hari ini. Beliau adalah ahli parlimen Pagoh.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai tuntutan pertubuhan bukan kerajaan Cina dan India semalam agar novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu digugurkan sebagai buku teks sastera pelajar tingkatan lima kerana ia cuba menggambarkan bahawa negara ini "tanah orang Melayu"  dan "Melayu sebagai tuan tanah, Cina dan India sebagai pendatang yang mana tidak selari dengan konsep 1Malaysia."

forum interlok 01 Beliau berkata pembangkang sememangnya mahu agar isu itu berpanjangan untuk  menyemarakkan perasaan benci rakyat terhadap kerajaan.

Kerajaan, katanya, tidak akan berkompromi kerana ianya melibatkan keselamatan negara.

"Saya tahu muslihat mereka dan saya nak tegaskan kita tidak akan tunduk, proses pembelajaran akan berjalan seperti biasa serta proses penambahbaikan akan dibuat," katanya.

Novel itu mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India. Perkataan-perkataan itu kemudiannya diubah hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Mengenai sama ada Barisan Nasional boleh mendapat majoriti dua pertiga kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini, Muhyiddin berkata beliau tidak mahu membuat andaian awal dan mendahului keputusan pilihan raya.

“Apa yang penting ialah memastikan kemenangan agar Barisan Nasional terus mendapat mandat untuk membentuk kerajaan dan meneruskan agenda pembangunan di Sarawak," katanya.

- Bernama

ADS