Pulapol kini bebas daripada virus Adeno
Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di Kuala Lumpur kini bebas daripada virus virus Adeno dan penularannya terkawal, kata Komandannya, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed.
Tiada kes baru jangkitan virus itu dilaporkan di pusat latihan berkenaan sejak 19 Mac lalu, katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong di pusat berkenaan hari ini.
Zulkifli berkata pelatih-pelatih kini dilaporkan dalam keadaan selamat selepas 80 peratus daripada pelatih pusat berkenaan dijangkiti virus itu bulan lalu.
Beliau berkata semua pelatih diberi cuti selama dua minggu sejak Isnin lalu bagi membolehkan operasi pembersihan dilaksanakan di pusat tersebut.
Beliau juga berkata pusat itu akan melakukan pembersihan profesional sebulan sekali untuk jangka panjang bagi membanteras penularan penyakit berkenaan.
Katanya semua pelatih turut diberikan kaunseling supaya mereka dapat menyambung latihan di sini tanpa sebarang kemusykilan.
Jangkitan virus itu meragut nyawa tiga pelatih polis yang terdiri daripada Azizan Aziz, 25, Mohd Redzuan Ishak, 26, dan Mohammad Siman, 23, sejak ia dikesan di Pulapol 4 Mac lalu.
- Bernama

