BERITA Malaysiakini

PM: Isu kitab Injil telah diselesai secara baik

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu 35,100 naskhah kitab Injil versi Bahasa Malaysia yang disita di Pelabuhan Klang dan Kuching sebenarnya telah diselesaikan secara baik dan tidak perlu dibangkitkan.

    

"Saya minta Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) supaya berunding dan setiap perkara mendapat restu saya. Tak patut jadi isu.

"Kita beri perhatian kepada penganut Kristian di Sarawak. Keputusannya boleh dipakai secara berterusan. Kita dah dapat (buat) keputusan yang baik," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Sri Aman hari ini.

    

Mengenai lawatannya yang kerap ke Sarawak sewaktu pilihan raya negeri ini, Najib berkata selain kerana kehadirannya diperlukan, negeri ini begitu luas dan memerlukan beliau selalu datang.

    

"Dulu, setiap pilihan raya kecil saya datang. Itu satu kawasan aje," katanya dan menurutnya Sarawak mempunyai 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebab itu beliau memperuntukkan masa untuk datang ke negeri ini.

    

Sementara itu, Najib berkata beliau percaya polis akan menjalankan siasatan secara penuh profesional terhadap kes video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

    

"Kita mesti ada keyakinan siasatan rapi akan dibuat polis. Saya serahkan kepada polis untuk ambil tindakan lanjut (dan) ini sudah menjadi isu besar kepada rakyat," katanya.

    

- Bernama