Pergerakan silat Al-Ma'unah tidak bercadang melancarkan peperangan terhadap kerajaan dan ketuanya Mohd Amin Mohd Razali tidak berkempen ke arah itu, kata seorang saksi hari ini.

Menurut timbalan ketua Al-Ma'unah, Zahit Muslim, berkata setakat pengetahuannya "haram menjatuhkan sesebuah kerajaan yang membenarkan umat Islam menunaikan sembahyang walau kerajaan itu zalim dan fasik."

Apabila ditanya kandungan kuliah yang disampaikan oleh Amin di sebuah pondok di Benut, Pahang, Zahit berkata pemimpin pergerakan itu menyampaikan kata-kata antikerajaan secara "sampingan sahaja" dan beliau tidak mengajak melakukan jihad bagi menentang kerajaan.

Zahit memberitahu demikian pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila ditanya peguamnya Zabidi Mohamad.

Apabila ditanya lagi maksud jihad yang difahaminya, Zahid berkata jihad adalah "usaha memperbaiki diri, melawan nafsu, berbuat baik dan mencari nafkah keluarga."

[Laporan lanjut selepas ini]