Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Kedah naikkan cukai tanah UUM 10 kali ganda
Diterbitkan:  Apr 18, 2011 6:25 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Tindakan kerajaan negeri Kedah menaikkan cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda selain gagal menyediakan bekalan air yang mencukupi di universiti itu, dilihat sebagai tidak membantu usaha kerajaan pusat untuk melahirkan modal insan negara.

NONE Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai kerajaan negeri yang memerintah, mereka seharusnya berbangga dengan universiti itu dan membantu kerajaan pusat dalam menyediakan keperluan-keperluan tertentu untuk universiti berkenaan.

"Selama ini kalau kerajaan negeri itu BN, ia membantu dengan tidak mengenakan cukai yang tinggi. Tetapi setelah mereka mengambil alih kerajaan negeri, mereka mengenakan cukai tanah kepada institusi pendidikan sehingga RM1.8 juta setahun cukai tanah berbanding sebelum ini RM150,000 setahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Khas Pasca Siswazah untuk Anggota Parlimen yang dikendalikan UUM di Putrajaya hari ini.

Lebih membebankan apabila pihak pengurusan UUM terpaksa membayar antara RM80,000 sehingga RM90,000 sebulan untuk menampung kos lori bagi mengangkut air dari luar akibat kekurangan bekalan air sejak setahun lalu, katanya.

uum Beliau berkata kerajaan negeri dilihat cuba mendapatkan keuntungan daripada sebuah institusi pengajian tinggi, sedangkan mereka seharusnya memahami UUM adalah sebuah pusat akademik yang berfungsi untuk melahirkan modal insan.

Mohamed Khaled berkata sebelum ini pakatan pembangkang hanya tahu mempersoal tindakan kerajaan Pusat menaikkan harga gula dalam ceramah-ceramah politiknya sedangkan mereka sendiri menaikkan cukai tanah pada kadar yang cukup tinggi.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata beliau telah menemui Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak awal tahun ini untuk berbincang mengenai isu air selain merayu agar kadar cukai tanah dikurangkan.

"Semasa berjumpa Menteri Besar beliau berkata beliau akan cuba menyelesaikannya. Saya masih menunggu jawapan," katanya.

- Bernama

ADS