Melaka tubuh Akademi Silat di Pulau Besar
Kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan Akademi Seni Silat dengan menjadikan Pulau Besar sebagai lokasi pilihan yang bertujuan untuk memartabatkan lagi seni mempertahankan diri orang Melayu itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, cadangan itu selari dengan perancangan Melaka sebelum ini yang bakal membina lima gelanggang silat berteraskan lima pahlawan Melayu negeri itu di Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong.
Menurutnya yang juga, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), projek itu akan berjalan secara serentak tahun ini.
"Sebenarnya perkara ini, telah dicadangkan Ahli Dewan Perguruan Pesaka, selaku pengasas Silat Lincah iaitu Mahaguru Datuk Omar Din Mauju.
"Saya pun bersetuju untuk menjadikan Pulau Besar sebagai lokasi sesuai bagi dijadikan Akademi Seni Silat ini yang dirasakan banyak mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada perkembangan silat itu sendiri malah ekonomi negeri Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat, Omar Din di kediamannya di Seri Bendahara, Ayer Keroh.
Empat juta ahli
Jelas Mohd Ali, Pesaka mempunyai empat juta ahli yang bernaung di bawah 372 perguruan di seluruh negara dan mereka dianggap aset penting untuk membawa seni silat ke era baru.
"Saya melihat di dalam Pertubuhan Seni Silat Lincah sendiri mempunyai jutaan ahli membabitkan seluruh dunia, termasuk Eropah, Amerika dan Asia, malah mereka ini sudah pasti akan menjadikan Pulau Besar sebagai pusat sekaligus mengamit lebih ramai kehadiran pelancong.
"Lagi pun, Silat memang ada hubung kait yang kuat dengan Pulau Besar dan silat lincah itu sendiri datangnya dari Pulau Besar," katanya.
Sementara itu, Perguruan Seni Silat Lincah Malaysia akan menganjurkan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhan silat berkenaan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 29 Mei depan.
Menurutnya, pada acara itu nanti, ia akan digamatkan dengan kehadiran lebih 20,000 pengamal Silat Lincah dari seluruh dunia di samping seramai 500 pesilat akan melakukan aksi persembahan tanpa henti selama lima jam sekaligus bakal mencatat rekod dunia.
Katanya, acara itu juga akan menayangkan menerusi rakaman video tentang pejuang-pejuang silat lincah sepanjang tempoh 50 tahun.
"Pada acara itu juga, kita akan memperkenalkan pewaris silat lincah yang bakal meneruskan perjuangan untuk tempoh 50 tahun lagi.
"Sebagai simboliknya, kapsul masa yang mempunyai amanat Mahaguru akan diserahkan kepada kumpulan pewaris terbabit dan akan dibuka untuk tempoh 50 tahun akan datang," katanya.

