Demokrasi Malaysia tidak liberal, kata Anwar
EKSKLUSIF! Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecop Malaysia mengamalkan 'demokrasi tidak liberal' dalam kenyataan umumnya yang pertama selepas pilihanraya lalu.
"Pilihanraya dalam sebuah negara yang tidak liberal sukar sekali bebas dan adil," jelas Anwar dalam jawaban bertulis kepada malaysiakini . Jawabannya kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh akhbar dalam talian itu ditulis di atas kertas bercop Pengarah Penjara Sungai Buloh, tempat beliau dipenjarakan.
Bagaimanapun, Anwar menyatakan rasa bersyukur di atas pencapaian parti-parti Barisan Alternatif walaupun terpaksa berdepan dengan kekuatan jentera Barisan Nasional.
"Walaupun ada kelemahan dan terpaksa pula melawan kekuatan pengaruh wang, jentera dan media mereka, BA mampu mendapatkan sokongan hampir separuh jumlah undi."
Gabungan parti pembangkang berjaya mendapat 44 peratus daripada jumlah keseluruhan undi, manakala Umno kehilangan keyakinan masyarakat Melayu dalam pilihanraya umum 29 November lalu.
Walaupun BN berjaya mempertahankan majoriti dua per tiga di Parlimen, Umno hanya mendapat 72 kerusi berbanding 94 sebelumnya. Tambahan lagi, parti itu kehilangan Terengganu ke tangan PAS dan gagal menawan kembali Kelantan. Dianggarkan parti Melayu itu hanya memperolehi 45.3 peratus undi popular di 41 kawasan parlimen di mana sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi adalah Melayu.
Anwar juga berkata kekuatan gerakan reformasi telah diterjemahkan melalui "pencapaian yang mengkagumkan" barisan pembangkang. Bakal perdana menteri itu melancarkan gerakan reformasi untuk menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme selepas dipecat dari kerajaan dan parti secara mendadak pada September 1998.
Beliau sedang menjalani hukuman enam tahun penjara atas kesalahan rasuah dan kini menghadapi perbicaraan atas tuduhan liwat dan salah laku seks. Anwar sentiasa menafikan semua tuduhan ke atasnya dengan mengatakan itu semua direka bertujuan menamatkan kerjaya politiknya.
Mengenai cadangan Umno untuk tidak membuka pertandingan di peringkat dua jawatan tertinggi parti itu, Anwar berkata resolusi itu boleh dianggap sebagai satu mesej tergesa-gesa kepada perwakilan agar mengikut sahaja keputusan pemimpin atau pun menghadapi akibat yang buruk.
"Ia juga menunjukkan bahawa tidak ada bezanya suasana takut yang digunakan oleh regim BN ke atas rakyat," kata Anwar.
Majlis Tertinggi Umno menetapkan satu cadangan untuk tidak membuka pertandingan bagi jawatan persiden dan timbalan presiden awal bulan lalu. MT juga mencalonkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalan presiden parti itu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Abdullah di atas perlantikannya, Anwar menganggapnya tidak tetap pendirian dan gagal mengambil keputusan mengenai isu-isu yang penting. "Abdullah hanya meniru bulat-bulat langkah Dr Mahathir, rela tunduk kepada beliau dan (Menteri Kewangan) Tun Daim (Zainuddin) dan masih tidak berbuat apa-apa terhadap laporan-laporan polis mengenai kes-kes rasuah tetapi berani menindas pembangkang dan mereka yang berbeza pendapat dengan kerajaan."
Bakal Perdana Menteri itu menerima kritikan hebat daripada parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) kerana menangkap aktivis-aktivis pembangkang ketika Mahathir sedang bercuti di luar negara selama tiga minggu.
Seorang peguam terkenal dan juga Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh bersama Naib Presiden KeADILan, Marina Yusoff dan Pengarang Harakah , Zulkifli Sulong dan pemilik syarikat percetakan Chia Lim Thye ditahan dan dituduh di bawah Akta Hasutan, manakala pembantunya yang setia dan juga Ketua Pemuda KeADILan Mohd Ezam Mohd Noor dituduh di bawah Akta Rahsia Rasmi.
"Tindakan kerajaan itu dengan jelas menunjukkan bagaimana undang-undang yang keras digunakan untuk membekukan perbezaan pandangan dan ditujukan ke arah pemimpin-pemimpin pembangkang," kata Anwar.
Sambil menyifatkan pemenjaraannya sebagai halangan untuknya menyokong barisan pembangkang, Anwar bagaimanapun melahirkan keyakinannya bahawa isterinya, Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Ismail, mampu menyampaikan agenda reformasi bagi negara ini, arahan parti dan politik politik BA.
"Saya hanya mampu melahirkan sokongan yang terhad tetapi berpegang teguh pada agenda reformasi. Sokongan rakyat Malaysia ke arah demokrasi, keluhuran undang-undang dan ekonomi yang rancak serta manusiawi begitu meyakinkan," kata Anwar.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.