Tidak sampai separuh daripada 193 wakil Dewan Rakyat yang baru dipilih dalam pilihan raya umum lalu hadir hari ini, hanya tiga hari selepas dewan itu bersidang buat kali pertama dalam mesyuarat dewan ke-10 pada Isnin lalu. Lebih menyedihkan, tidak ada seorang pun anggota kabinet hadir pagi tadi kerana menghadiri mesyuarat jemaah menteri yang diadakan

setiap hari Rabu.

Pemerhati-pemerhati berkata sebahagian besar wakil dewan yang tidak hadir dari Barisan Nasional. Semalam, akhbar-akhbar melaporkan hanya enam daripada 28 menteri hadir ke sidang dewan.

Wakil Parlimen DAP bagi Seputeh Teresa Kok menjelaskan semua wakil rakyat Barisan Alternatif hadir ke dewan semalam kecuali Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang (Marang) dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, Mustafa Ali (Dungun). Mereka berdua dipercayai tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, yang baru membentangkan belanjawan negeri semalam.

"Wakil-wakil rakyat BN selalu tidak hadiri sidang Dewan Rakyat," jelasnya lagi.

Sementara itu Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang yang baru, Dr Mohd Hatta Ramli

berkata, wakil-wakil BN sebelum ini sering meninggalkan dewan supaya sidang tidak mempunyai korum yang cukup. Dengan cara ini, katanya, wakil-wakil pembangkang tidak dapat membahaskan isu-isu penting. Sidang dewan tidak dapat diteruskan sekiranya kurang daripada 26 wakil rakyat

hadir.

"Sekarang, apabila bilangan wakil-wakil rakyat dari Barisan Alternatif semakin ramai, taktik lama itu tidak lagi terpakai," jelasnya. Beliau turut menjelaskan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor akan terus memberikan perhatian serius berhubung isu ketidakhadiran wakil-wakil dewan.

Seorang wakil Parlimen DAP yang berpengalaman Tan Kok Wai memberitahu malaysiakini bahawa peraturan bilangan cukup korum yang rendah menggalakkan wakil-wakil BN agar tidak menghadiri sidang di Dewan Rakyat.

"Dewan Rakyat yang dikuasai oleh BN tidak berani meningkatkan bilangan cukup korum bagi

membolehkan sesuatu sidang berlangsung," jelasnya. Sebagai seorang yang berpengalaman 20 tahun di Dewan Rakyat, beliau berkata dewan pada waktu-waktu tertentu sukar bersidang kerana tidak cukup korum 26 orang wakil rakyat.

"Sidang kali ini hanyalah empat hari," katanya lagi. "Jika tempoh sidang ini berminggu-minggu,

masalah ketidakhadiran akan lebih buruk, khususnya pada minggu terakhir." Menurut sebuah akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times , daripada 193 wakil, hanya 108 orang hadir pada jam 10:05 pagi semalam, 72 orang pada 2:30 petang dan 119 orang pada jam 5 petang.