JKHK S'gor: Mahkamah gantung notis arah Hafarizam hadir
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menggantung notis yang mengarahkan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun menghadiri perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Selangor bagi menjawab tuduhan menghina Dewan.
Hakim Datuk Zaleha Yusof mengeluarkan perintah penggantungan itu berkuatkuasa sehingga saman pemula yang difailkan oleh Mohd Hafarizam terhadap jawatankuasa itu didengar pada 20 Mei ini.
Mohd Hafarizam merupakan peguam yang mewakili ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, dalam kes perisytiharan kerusi itu kosong oleh Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim.
Pada 1 April lepas, Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk ke JKHK atas tuduhan, mereka secara berasingan atau bersama, melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas kepada Teng yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak 'senonoh, biadap dan mengugut'.
Peguam Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata pendengaran permohonan saman pemula yang sebelum ini dijadualkan hari ini ditangguhkan atas permohonan peguam Chang Kok Keong yang mewakili kesemua defendan.
Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri wakil dari Majlis Peguam Adlan Hadi.
Rabu lalu, Mohd Hafarizam memfailkan saman pemula itu bagi mendapatkan perintah membatalkan keputusan DUN Selangor untuk menghadapkannya ke JKHK hari ini atas tuduhan menghina Dewan.
Peguam itu menamakan DUN Selangor sebagai defendan pertama, Setiausaha JKHK Mohamad Yasid Bidin sebagai defendan kedua dan JKHK DUN Selangor sebagai defendan ketiga.
Mohd Hafarizam, 39, memohon deklarasi bahawa saman bertarikh 12 April lepas yang dikeluarkan oleh Mohamad Yasid untuk memerintahkan beliau hadir dalam perbicaraan JKHK itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Peguam itu juga memohon deklarasi bahawa saman tersebut adalah ultra vires (melanggari batasan undang-undang) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dan Jadual Kuasa dan Kebebasan Dewan Undangan, Peraturan Tetap DUN Selangor serta Enakmen Penghinaan Dewan (Negeri Selangor) 2009.
Pada 18 Februari lepas, Zaleha memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.
Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu dengan alasan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.
Sementara itu, JKHK dalam perbicaraan hari ini mendapati Badrul Hisham tidak bersalah atas dakwaan menghina dewan manakala Mohd Hafarizam didenda RM20,000 kerana gagal menghadiri perbicaraan jawatankuasa itu.
- Bernama

