Jangan keliru tafsiran lain 1Malaysia - Maglin
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz mengingatkan orang ramai agar jangan mudah terkeliru dengan tafsiran kurang tepat mengenai gagasan 1Malaysia oleh pihak tertentu, termasuk pembangkang.
Beliau berkata gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cuba diputarbelitkan pembangkang demi kepentingan politik mereka semata-mata.
"Jangan mudah terkeliru dengan pandangan negatif pembangkang mengenai gagasan 1Malaysia kerana mereka (pembangkang) hanya mahu menabur tohmahan terhadap konsep itu demi kepentingan politik mereka semata-mata," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Malam Aspirasi 1Malaysia anjuran Institut Perkembangan Minda, Jabatan Hal Ehwal Khas dan Pejabat Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Bestari Jaya di Kuala Selangor tadi.
Program itu adalah sebahagian daripada program Perkampungan Baktisiswa 1Malaysia Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma) yang bertujuan mendedahkan kepada masyarakat khususnya mahasiswa mengenai misi gagasan dengan menerapkan nilai murni cintakan negara kepada penduduk setempat.
Maglin berkata program itu membabitkan penuntut dari 22 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di sekitar Lembang Klang dan negeri lain dan ia telahpun dilaksanakan di 27 kawasan DUN seluruh negara sehingga kini.
--Bernama

