Iskandar perlu kukuhkan pelaburan domestik
Iskandar Malaysia, koridor pembangunan utama di sebelah selatan, di Johor, memerlukan satu asas pelaburan domestik yang kukuh bagi mengekalkan lajakan pertumbuhan.
Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) Ismail Ibrahim berkata Iskandar Malaysia akan mengekalkan nisbah hampir sama antara pelaburan domestik dan asing, tetapi kehadiran kukuh pelaburan domestik diperlukan kerana merekalah yang akan kekal.
"Pada masa yang sama, kehadiran pelaburan asing juga penting bagi membawa masuk inovasi dan kreativiti terbaharu yang sebaliknya akan membawa masuk pengetahuan," katanya.
Tahun lepas, 52 peratus daripada pelaburan di Iskandar Malaysia adalah dari pelaburan tempatan manakala 48 peratus adalah pelaburan asing, katanya kepada pemberita selepas melawat Iskandar Malaysia.
Lawatan itu dianjurkan oleh Danga Bay Sdn Bhd, yang telah diberikan kontrak penswastaan oleh kerajaan negeri Johor pada awal 2000 bagi membangunkan kawasan pesisiran seluas 720 hektar di Pantai Lido Johor.
Ismail berkata kehadiran para pelabur asing akan turut mewujudkan iklim keyakinan yang sebaliknya akan menempatkan Malaysia, terutama Johor, pada perhatian para pelabur.
Antara syarikat asing di Iskandar Malaysia ialah syarikat pengeluar filem antarabangsa, Pinewood Shepperton plc, cawangan Chelsea premium dan Taman Tema Legoland.
Taman Tema Legoland di Nusajaya di Iskandar Malaysia dijangka siap pada suku ke-empat tahun depan dengan jangkaan sejuta pelawat bagi tempoh operasi tahun pertama.
IRDA adalah lembaga kawal atur yang diberi mandat merancang, mempromosikan dan memudahkan pembangunan Iskandar Malaysia untuk menjadi satu metropolis yang kukuh dan mampan pada tahap antarabangsa, di mana kehidupan, pekerjaan, perniagaan dan liburan dijalin bersama.
Ismail berkata Iskandar Malaysia menyasarkan untuk menarik pelaburan bernilai RM73 bilion dari 2011 hingga 2015 apabila kebanyakan syarikat, sama ada tempatan dan dari seberang laut, merancang menempatkan semula perniagaan masing-masing.
Katanya Iskandar Malaysia menjangka menerima kemasukan para pelabur China, Korea Selatan, Jepun, India, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Utara.
Iskandar Malaysia telah menarik pelaburan komulatif berjumlah RM72.48 bilion sehingga suku pertama tahun ini sejak 2006.
Ismail berkata Iskandar Malaysia perlu bersedia untuk meraih manfaat dari peningkatan trend perdagangan di dalam negara Asean ekoran pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Iskandar Malaysia dijangka mencecah US$93 bilion menjelang 2025 daripada US$20 bilion pada 2005, dan penduduknya meningkat kepada 3.0 juta orang daripada 1.4 juta.
Antara projek yang akan disiapkan pada tahun ini ialah Cawangan Johor Premium menjelang akhir tahun ini dengan unjuran 4.0 juta pelawat pada tahun pertama beroperasi, Newcastle Medical University dan juga pelancaran banyak projek perumahan.
--Bernama

