Detik rayu KDN segerakan permit
Majalah politik popular,
Detik , hari ini merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menyegerakan proses memperbaharui permitnya yang tamat pada 30 November lalu bagi memudahkan penerbitannya yang kini tergendala sebanyak dua keluaran, edisi 1 Disember dan 15 Disember.
Pengarang majalah dua kali sebulan itu, Ahmad Lutfi Othman, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini berkata Unit Kawalan Penerbitan KDN telah mengirim surat kepadanya pada 9 Disember memaklumkan kelulusan permohonan permit penerbitan (PP) tetapi dua hari lalu sumber KDN menyebutkan kemungkinan permit itu diproses semula.
"Agensi kawalan itu tidak wajar lagi melambat-lambatkan PP kami. Dahulu, mereka kata tunggulah dua minggu, sekarang tunggu dua minggu lagi," jelas Lutfi. "Kalau selalu ditangguh-tangguh, edisi 1 Januari 2000 pun tidak sempat diterbitkan. Ia akan mengganggu proses penerbitan dan perjalanan perniagaan kami."
"Setakat ini, sudah ramai pembaca bertanya-tanya bila lagi Detik mahu diterbitkan. Bagaimana pula pembaca kami yang sudah membayar wang langganan?" jelas Lutfi lagi.
Pada Selasa 21 Disember lalu, menurutnya lagi, KDN memaklumkan kepada penerbit Detik bahawa majalah itu mungkin mengalami "masalah" dan nombor PP tidak dapat dikeluarkan dengan segera. Pegawai KDN itu juga memaklumkan pemberian PP itu "kini diproses di peringkat menteri."
PP ialah nombor pendaftaran yang mesti ditulis di bahagian depan sesuatu jenis bahan penerbitan bagi menunjukkan kelulusan dari KDN di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987). Akta ini sering menjadi kritikan ahli politik, aktivis masyarakat dan penulis.
KDN beberapa bulan lalu mempertikaikan isi kandungan majalah dengan moto 'Suara Reformasi Rakyat' itu yang dikatakan 90 peratus berunsurkan politik pembangkang. "Kementerian [KDN] telah mengkaji kandungan penerbitan majalah yang bertajuk ' Detik ' bagi keluaran 1 Jun 1999 (bil. 7) hingga keluaran 15 September 1999 (bil. 12) dan mendapati bahawa isi kandungan penerbitan ini banyak mengandungi rencana-rencana berunsurkan politik," surat rasmi dari KDN bertarikh 23 Oktober dipetik.
"Rencana-rencana yang berunsur politik secara keseluruhannya disiarkan sebanyak 90 peratus, yang rata-rata rencana ini lebih difokuskan kepada politik pihak pembangkang, rencana mengenai ekonomi sebanyak 3 peratus, rencana mengenai sosial sebanyak 3 peratus, rencana pendidikan sebanyak 1 peratus dan selebihnya meliputi penyiaran iklan-iklan."
Sumber dari KDN hari ini mengesahkan bahawa permohonan asal majalah ini ialah untuk mengupas hal-ehwal semasa tetapi apabila diterbitkan ia tidak mengupas isu-isu semasa dengan seimbang. Bagaimanapun, sumber yang sama menafikan Detik dilarang diterbitkan kerana desakan dari Majlis Tertinggi Umno dalam post-mortem pilihanraya lalu.
"Jika Detik memohon permit tiga bulan sebelum tarikh akhirnya tamat, ia akan diproses dan diluluskan dalam jangka masa yang terdekat," kata sumber itu lagi.
Bagaimanapun, Lutfi mempertikaikan sikap KDN itu yang didakwa cuba memberikan kategori tertentu pada Detik . "Sebenarnya, dalam borang permohonan tidak ditetapkan sesuatu kategori. Tetapi KDN sendiri dalam surat kelulusan mengkelaskan majalah ini sebagai majalah pendidikan," jelasnya.
Beliau menjelaskan sebaik sahaja menerima surat rasmi dari KDN pada Oktober lalu, pihaknya terus menulis untuk menjelaskan keadaan sebenar operasi penerbitan Detik . "Bukan kita tidak mahu ikut saranan KDN. Masalahnya, pada waktu itu pilihanraya sudah semakin hampir. Oleh itu, isu-isu politik diberikan keutamaan sebab bahan seperti itu diminati oleh pembaca," katanya. "Kami bersedia mendengar pandangan dari KDN."
"Sudah beberapa kali kami memohon untuk bertemu pegawai KDN yang terbabit tetapi mereka tidak bersedia. Kami ingin tahu takrif 'majalah politik' dengan 'majalah pendidikan'. Sekarang kami dalam keadaan tertanya-tanya walaupun wang RM500 untuk permit sudah pun dibayar," kata Lutfi, yang juga penulis buku-buku politik dan bekas tahanan ISA.
Beliau berpendapat ada pihak-pihak tertentu berasa kurang senang dengan gaya penulisannya yang mengkritik kerajaan dan juga kemajuan bahan-bahan terbitannya. "Nampaknya saya sendiri tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu, termasuklah apabila saya kini memimpin sebuah majalah bulanan yang baru."
Detik diterbitkan mulai 1 Januari tahun ini dan mendapat perhatian di kalangan pembaca yang proreformasi. Selain majalah itu, Lutfi kini bertugas sebagai Editor majalah Wasilah . Ketika beliau memimpin Tamadun , edaran majalah itu melonjak ke angka 140 ribu naskhah pada bulan Oktober tahun lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.