Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri menyeru semua pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memantau dan melaksanakan projek kerajaan supaya tidak berkompromi dalam aspek etika, integriti serta amalam profesionalisme mereka.

NONE Beliau berkata ini penting bagi mengelak ketirisan dan kerugian besar kepada rakyat dan negara kerana gagal memperolehi kemudahan infrastruktur yang berkualiti bagi kerja binaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya ini termasuk mereka yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi kerja, memilih kontraktor, memantau pelaksana projek serta meluluskan pembayaran bagi kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor binaan.

"Sekiranya kerja-kerja pemantauan dilakukan dengan lebih rapi dan profesional bermula sejak awal, adalah mustahil sesuatu projek itu berhadapan masalah.

NONE "Kita sudah bosan mendengar kritikan dan rungutan berkaitan pembinaan kemudahan awam seperti jalan raya dan bangunan yang tidak berkualiti dan mengalami keretakan, kerosakan dan kos melebihi anggaran," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu.

Abdul Rahim berkata fenomena itu sedikit sebanyak telah membentuk persepsi buruk seolah-olah kerajaan melakukan pembaziran dan menjejaskan imej serta kredibiliti kerajaan di mata rakyat.

Oleh itu, beliau berharap punca masalah itu dapat diteliti dan dikaji bagi tujuan membetulkan keadaan.

-Bernama