'Sumpah laknat' kecoh: Rozan Azen dipanggil polis
Timbalan ketua penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip hari ini dipanggil untuk siasatan polis berhubung satu insiden kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As akhir bulan lalu.
Rozan berkata, beliau disiasat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung pertengkaran kecil yang berlaku, yang dipercayai berlaku antara sekumpulan penyokong PKR dan juga beberapa orang jemaah dan wartawan dalam kejadian berkenaan.
"Semuanya saya percaya berhubung aduan dari kumpulan yang kita rasa NGO pro-BN sekitar peristiwa di Masjid (Amru Al-As), Bandar Baru Sentul.
"Kami berpendirian bahawa kita berhak berkumpul pada hari berkenaan. Kami yakin bahawa kami tidak menimbulkan apa-apa kekecohan pada hari berkenaan.
"Bagaimanapun saya menggunakan hak saya bahawa Seksyen 112(2) untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan. Saya boleh jawab di mahkamah," kataya ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.
Katanya lagi, pegawai penyiasat polis antara lainnya telah bertanya sama ada benar beliau telah melaungkan "politik fitnah" ketika insiden berkenaan berlaku pada 29 April lalu.
Kumpulan berkenaan hadir di masjid itu bagi menyaksikan upacara sumpah laknat oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah – salah seorang daripada trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab ke atas penayangan satu video lucah.
Rozan Azen berkata, beliau telah dihubungi polis untuk hadir membantu siasatan pagi tadi dan beliau hadir untuk siasatan selama kira-kira 15 minit petang ini.
Katanya lagi, turut dipanggil untuk siasatan ialah ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin dan juga timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainudin.
Kedua-dua pemimpin AMK itu diserahkan notis untuk hadir ke balai polis bagi siasatan, kata Rozan Azen lagi.

