Jentera BN sedang giat menjalani kursus setiap hujung minggu bagi menyiapkan diri menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

ahmad zahid hamidi Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Biro Latihan Umno berkata, kursus secara berterusan yang membabitkan seramai 60,000 peserta dijangka berakhir Julai ini.

"Setiap hujung minggu tidak kurang daripada 10 kursus di seluruh negara diadakan dan ianya melibatkan semua peringkat bahagian dan cawangan," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan sambutan Hari Pekerja peringkat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan berkata, kursus itu berdasarkan kepada modul peraturan dan perundangan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya supaya peserta mendapat pendedahan awal mengenai kaedah-kaedah yang ditentukan.

"Modul yang dipelajari mengenai peraturan dan perundangan pilihan raya didedahkan awal kepada peserta kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah seperti kawasan Parlimen tertentu mempunyai kaedah yang berbeza," katanya.

- Bernama