Orang ramai dinasihati agar mengurangkan aktiviti luaran dan tinggal di dalam rumah berikutan dengan keadaan berjerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kementerian Kesihatan meminta orang ramai supaya menggunakan penutup hidung dan mulut sekiranya terpaksa melakukan aktiviti di luar kawasan rumah bagi menjaga kesihatan diri.

haze street interview 091006 hazy day "Mereka yang terpaksa melakukan aktiviti luar juga dinasihatkan untuk mencuci tangan dan muka selepas menjalani aktiviti tersebut,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Masyarakat digalakkan untuk mandi dengan kerap dan banyak minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari sebagai langkah menghindari daripada penyakit.

"Jika memandu, gunakan pendingin hawa dalam kenderaan dan pastikan pintu dan tingkap di rumah sentiasa ditutup,” kata kenyataan itu.

kl haze 120805 student Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laman webnya mencatatkan bahawa 31 kawasan berada pada tahap sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 51 dan 100 manakala 21 kawasan berada pada tahap baik (IPU 0-50) di seluruh negara pada 5 petang.

Antara kawasan yang mencatatkan IPU tertinggi pada tahap sederhana, pada 5 petang semalam adalah Pelabuhan Kelang, Selangor (99), Bukit Rambai, Melaka (96), Bandaraya Melaka (88) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (85).

“Ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi menunjukkan negeri di sebelah pantai barat, utara dan selatan Semenanjung tidak menerima hujan selama lima hari berturut-turut.

“Bagaimanapun keadaan panas dan kering diramalkan akan berkurangan pada akhir minggu ini berikutan terdapat ramalan hujan di sekitar pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta hujan ribut di kawasan tengah dan pantai timur Semenanjung," kata kenyataan itu.

- Bernama