Tokoh Ketua Pembangkang selama 25 tahun, berakhir 1999, LIM KIT SIANG sempat bersama tiga Perdana Menteri, bermula zaman Tun Abdul Razak hinggalah sekarang. Kit Siang semalam mendakwa Parlimen bukan setakat ' rubber stamp ' tetapi semakin merosot penggal demi penggal. Bahagian ini mengupas lebih lanjut pengalaman beliau bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam Parlimen. Kit Siang juga menjangkakan tangkapan besar-besaran akan terjadi sekiranya Mahathir tersepit.

Tadi En Lim berkata, pada zaman awal pentadbiran Mahathir, suasana masih agak bebas; kemudiannya apa yang sudah terjadi?

Pada awalnya memang ada sedikit ruang; zaman yang dikenali 2M (Mahathir-Musa). Ada sedikit harapan untuk kebebasan, ketelusan dan keterbukaan. Kebebasan akhbar masih ada sedikit waktu itu akhbar harian The Star memang sedap dibaca, laporan dan kupasannya terbuka dan kritis. Tetapi itu semua terhapus sebaik sahaja berlakunya Operasi Lalang pada 1987.

Tetapi soal ketegangan kaum sebelum operasi itu, malah sepanjang dekad 1980-an, bagaimana pandangan En. Lim?

Saya tidak fikir wujudnya ketegangan kaum. Kalau polarisasi kaum akibat dasar-dasar Barisan Nasional, saya setuju. Ketegangan kaum sebelum Operasi Lalang pada umumnya tercetus akibat mainan politik dalaman Umno pertelagahan antara kumpulan Mahathir dengan kumpulan Tengku Razaleigh. Polarisasi kaum wujud kerana Barisan Nasional mengiktiraf bahawa masyarakat kita adalah majmuk.

Ketika En. Lim menjadi Ketua Pembangkang, saya sering membaca ucapan dan pendedahan-pendedahan berani En. Lim dalam Parlimen, misalnya tentang penganugerahan projek lebuhraya PLUS kepada United Engineers Malaysia (UEM). Bagaimana En. Lim boleh dapatkan dan mendedahkan maklumat yang strategik itu?

(ketawa) Saya fikir saya belum bersedia bercakap soal itu.

Juga saya pernah membaca kumpulan ucapan-ucapan En. Lim sebelum Operasi Lalang, misalnya istilah ' piratisation '...

Sayalah yang mencipta perkataan tersebut! (ketawa). Umumnya, sebagai Ketua Pembangkang, saya perlukan maklumat...

Tetapi apakah ada sebarang gangguan dari mana-mana pihak selepas itu?

Tidaklah sangat. Sebab kami bergerak secara terbuka, mengikut lunas undang-undang, demokratik dan telus. Tetapi tentunya saya dan parti sengaja dihalang daripada berkembang. Saya sendiri pernah didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sepanjang pentadbirannya, Mahathir perlahan-lahan menghakis proses demokrasi. Bagaimana En. Lim menilai corak penghakisan demokrasi itu, termasuklah sepanjang tahun ini selepas berlakunya 'era reformasi'?

Sejak setahun terakhir, demokrasi semakin terhad. Saya fikir selepas kemenangannya dalam pilihan raya umum lalu, selagi Mahathir sebagai Perdana Menteri, demokrasi di negara ini akan tergugat lebih jauh lagi. Dengan kekuatan yang beliau miliki kini, selepas Barisan Alternatif gagal menafikan hegemoni BN dalam tempoh 42 tahun, saya fikir Mahathir tertarik untuk melakukan ' major crackdown ' atau tangkapan besar-besaran yang lebih teruk daripada Operasi Lalang.

Apakah ada kemungkinan ke arah itu?

Saya tidak menolak kemungkinan itu. Hari Isnin lalu, mereka dengan bebas sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan. Itu menunjukkan mereka begitu terdesak dan tidak menghormati langsung undang-undang.

Pada 1980-an, pentadbiran Mahathir meminda dan mengetatkan pelbagai akta, termasuk yang bersifat menindas. Apakah tindakan En. Lim?

Umumnya, iklim demokrasi tidaklah begitu gelap pada awalnya. Masih ada lagi ruang berbeza pandangan dan aktiviti masyarakat madani tetapi tidaklah aktif seperti sekarang.

Jadi, untuk mempertahankan demokrasi, apakah tindakan seterusnya?

Peluang untuk menjatuhkan Mahathir dan menafikan hegemoni Barisan Nasional pada hari mengundi 29 November lalu sudah terlepas. Kalau kita berjaya mencapai matlamat kita pada pilihan raya lepas, dapat memecahkan hegemoni BN, kita akan membentuk satu minda baru di kalangan rakyat, berjaya melemahkan strategi politik BN yang berasaskan perkauman dan 'pecah dan perintah,' barulah demokrasi mendapat nafas baru. Tetapi kita akan teruskan untuk lima tahun lagi walaupun bahaya atau kesukaran kian bertambah.