Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menilai kembali pendirian berhubung keputusan menghantar tentera pengaman ke Bahrain yang kini sedang bertindak keras terhadap rakyatnya yang menuntut perubahan ke arah demokrasi dan hak asasi manusia yang lebih dihormati.

LA DPPP kesal dengan kenyataan Najib yang menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap kerajaan Bahrain yang kini bersungguh-sungguh mematahkan kebangkitan rakyat negara itu dengan sokongan negara-negara Arab Teluk dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk negara jiran, Qatar.

Pengerusi lajnah tersebut, Raja Ahmad Iskandar al-Hiss berkata sebelum ini, perdana menteri turut mengeluarkan kenyataan mengaitkan pembangkang dan sekumpulan rakyat Bahrain dengan kumpulan teroris.

"Dunia kini didedahkan dengan maklumat bahawa pelbagai lapisan rakyat termasuk komuniti perubatan dan aktivis pembangkang ditahan dan diseksa oleh aparatus keselamatan kerajaan negara itu.

"Sokongan tidak berbelah bagi tanpa syarat yang ditunjukkan oleh Najib juga menimbulkan persoalan adakah kepentingan perniagaan di negara-negara GCC mendasari sikap kerajaan pada masa ini, sehingga mengabaikan tuntutan-tuntutan sah rakyat negara di kawasan tersebut," tegas Raja Ahmad.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam pelbagai projek berbilion ringgit di negara Arab Teluk.

"Najib juga ketika lawatan ke Qatar menggesa  syarikat Malaysia merebut peluang kontrak infrastruktur bernilai RM434bilion yang ditawarkan di Qatar," tambahnya.

Oleh itu, katanya, LA DPPP mendesak kerajaan Malaysia supaya tidak menjadikan kepentingan-kepentingan tersebut sebagai lebih penting berbanding tuntutan demokrasi rakyat di Bahrain dan negara-negara di wilayah itu.

"...semata-mata untuk mengelabui rakyat Malaysia untuk Malaysia mendapat habuan setelah ekonomi negara jatuh dengan teruk akibat kegagalan Umno dan BN mengurus negara," kata Raja Ahmad.