Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lynas: Tunggu keputusan kajian panel bebas, kata MB
Diterbitkan:  May 17, 2011 4:43 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meminta semua pihak menunggu keputusan panel bebas yang mengkaji aspek keselamatan terhadap pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Beliau berkata tindakan berdemonstrasi atau bantahan terhadap pembinaan kilang itu yang didalangi pihak pembangkang dilihat lebih bermotifkan politik semata-mata.

    

"Semua pihak termasuk pihak pembangkang kelak harus menerima apa juga keputusan panel bebas itu," katanya ketika berucap pada majlis bersama masyarakat India di Pekan Kerdau, di sini.

    

Adnan berkata isu pembinaan kilang itu dilihat terlalu dipolitikkan sekalipun Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) sebelum ini telah mengesahkan bahawa kilang berkenaan adalah selamat.

    

Ahad lepas, empat orang termasuk dua wanita ditahan selepas terbabit dalam perhimpunan haram di hadapan pejabat DAP Pahang kerana membantah pembinaan kilang berkenaan.

    

Pembinaan kilang bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, di kawasan perindustrian Gebeng itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.    

     

Beberapa siri penerangan yang dianjurkan LPTA dan kerajaan negeri Pahang di sekitar Kuantan baru-baru ini dilihat tidak memberi kesan positif.

    

Kerajaan pada 22 April lepas telah mengumumkan penubuhan satu panel bebas bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kilang itu.    

- Bernama

ADS