versi terkini Kementerian Kesihatan akan membentangkan isu rawatan sakit belakang bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 17 April ini.

"Jika ingin mengetahui keadaan Anwar seterusnya, boleh rujuk akhbar Utusan Malaysia hari ini pada halaman 13 dan menteri kesihatan juga akan mengumumkan hal ini Selasa depan," kata Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datuk S Sothinathan.

Beliau memberitahu dewan, sebagai menjawab kenyataan Abdul Rahman Yusof (Keadilan-Kemaman). Abdul Rahman berhujah Anwar mempunyai hak untuk mendapatkan pembedahan di luar negara.

Kenyataan wakil kerajaan itu yang menggesa anggota-anggota dewan merujuk akhbar itu dipertikaikan Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) sehingga menimbulkan sedikit suasana bising.

Sothinathan ketika itu sedang menjawab soalan Che Ghani Che Ambak (PAS-Setiu).

Dalam jawabannya, wakil kerajaan itu (BN-Telok Kemang) berkata pakar dari Jerman, Dr Thomas Hoogland, itu telah memeriksa Anwar, meninjau kemudian di Hospital Kuala Lumpur dan berpendapat pembedahan boleh dilakukan di hospital itu.

"Selama lebih empat bulan dirawat, keadaan beliau (kini) adalah stabil, malahan keadaan beliau semakin baik. Rawatan dan layan istimewa sebegini juga mendapat pujian Datuk Seri Anwar sendiri," katanya, menjawab bagi pihak Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed.

"Panel pakar yang merawatnya telah mengesyorkan agar beliau menjalankan pembedahan mengikut kaedah yang biasanya dilakukan di negara ini. Ini juga selarasa dengan peruntukan perundangan iaitu Peraturan-peraturan Penjara 2000."

Dalam sesi perbahasan berhubung Kementerian Penerangan, Nasharuddin Mat Isa (PAS-Yan) mendakwa berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) "menyiarkan propaganda" dengan memaparkan layanan istimewa dan kemudahan selesa yang dinikmati oleh Anwar.

"Layanan (istimewa) ini adalah tidak benar mengikut kenyataan Ketua Pengarah Penjara," kata Nasharuddin.