Pertempuran di Misrata dan bandar raya lain di Libya menghalang bantuan perubatan daripada sampai kepada orang awam dan turut menyebabkan kematian di kalangan kakitangan kesihatan, demikian menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

    

ICRC berkata Bulan Sabit Merah Libya melaporkan dalam tempoh empat hari lalu, tiga ambulans terkena serangan dalam tiga kejadian berasingan menyebabkan seorang jururawat terkorban manakala seorang pesakit dan tiga sukarelawan tercedera.

    

ICRC turut menerima dakwaan berhubung salah guna lambang palang merah dan bulan sabit merah yang digunakan bagi membantu operasi tentera dan penggunaan ambulans untuk membawa senjata, kata kenyataan ICRC yang berpangkalan di Geneva, menerusi laman webnya.

    

"Semua pihak yang terbabit dalam konflik mesti mengelak daripada mencederakan orang awam, kakitangan perubatan, kenderaan perubatan dan kemudahan perubatan," kata timbalan ketua operasi ICRC bagi utara dan barat Afrika, Georgios Georgantas.

    

Beliau menegaskan kakitangan perubatan dan ambulans mesti dibenarkan sampai kepada mereka yang cedera dan pembawa senjata mesti menghormati perkhidmatan perubatan dan lambang palang merah dan bulan sabit merah.

    

Dua hospital utama di Misrata kini berhempas pulas untuk menangani mereka yang cedera dalam keadaan yang disukarkan lagi dengan banyak doktor pakar dan jururawat yang telah melarikan diri dari bandar raya ini.

    

"Merawat kes kritikal adalah sukar dan kini adalah mustahil untuk merawat pesakit kanser dan mereka yang berpenyakit kronik," kata seorang doktor ICRC, Gabriel Salazar.

    

Minggu lalu, satu pasukan ICRC melawat hospital Al Hikma dan hospital Bulan Sabit Merah Libya dan menyampaikan peralatan bedah dan pakaian.

Pasukan itu turut memindahkan 108 orang awam dari Misrata ke Benghazi yang mana dari jumlah itu seramai 35 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 25 daripadanya cedera akibat terkena tembakan.

    

Sementara itu orang awam terus menghadapi bahaya daripada bahan yang tidak meletup yng terdapat di merata tempat.

Bahan-bahan ini perlu segera dikeluarkan dan ICRC berharap dapat memulakannya minggu depan, kata Herby Elmazi, anggota perwakilan yang bertanggungjawab dalam operasi mengurangkan ancaman itu di Libya.

    

"Pendekatan kita termasuk melatih sukarelawan tempatan dan memberikan mereka peralatan yang sesuai agar mereka dapat membersihkan bahan-bahan ini di kebanyakkan kawasan yang terjejas di bandar raya ini, menjadikan keadaan  selamat untuk orang awam bergerak," katanya.

Elmazi berkata banyak pertempuran berlaku di jalan raya di Misrata meninggalkan banyak bahan yang tidak meletup.

    

"Kami telah menilai keadaan di Misrata selama tiga hari dan boleh  mengesahkan pencemaran senjata di bandar raya ini mendatangkan bahaya kepada orang awam," jelas beliau.

    

Sementara itu pasukan pembersihan ICRC meneruskan aktivitinya di Ajdabiya dengan bekerja rapat bersama anggota sukarelawan Bulan Sabit Merah Libya.

Setakat ini 300 peralatan yang tidak meletup telah dibersihkan daripada rumah dan jalan raya menyebabkan ramai keluarga yang berupaya pulang ke rumah mereka dengan selamat walaupun keadaan keselamatan masih belum terjamin, menurut ICRC yang mempunyai pejabat wilayah tersebut.

- Bernama