'Kurangkan candu' perlu ikut keutamaan, kata DAP
DAP hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan persekutuan yang menarik balik “subsidi kecil” sehingga menjejaskan sebahagian besar pengguna tetapi pada masa yang sama membiarkan syarikat besar menikmati “subsidi besar”.
"Kerajaan harus menarik balik ‘candu besar’ seperti subsidi besar yang dinikmati oleh pengeluar tenaga bebas (IPP) dan syarikat besar yang lain,” kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.
“Ia (sekarang) memberi kesan kepada orang miskin dengan memotong subsidi ‘candu kecil’ seperti gula dan petrol tetapi golongan yang kaya dan besar dibiarkan (menikmatinya).”
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur selepas melancarkan Festival Georgetown 2011.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata subsidi bahan api “umpama candu” dan sepatutnya dikurangkan dari semasa ke semasa bagi mengawal belanjawan defisit.
Selepas menaikkan harga gula minggu lalu, kerajaan akan mengkaji semula harga petrol RON95 bulan depan.
Dalam satu lagi kenyataan bertulis hari ini, Lim mendakwa kerajaan telah membelanjakan RM19 bilion bagi subsi gas tahunan bagi IPP dan sektor tenaga komersial.
“DAP membantah keras pemansuhan subsidi diesel mulai 1 Jun 2011 tanpa terlebih dahulu menarik subsidi gas yang akan memberi kesan kepada beberapa IPP gergasi kerana ia akan menyebabkan inflasi secara langsung dan menjejaskan peniaga kecil dan pengguna,” petik kenyataan itu.
Pada 16 Mei lalu, kerajaan mengumumkan pemansuhan pemberian diesel super subsidi kepada sembilan kategori kenderaan di sektor pengangkutan barangan termasuk teksi limosin.
Dengan keputusan Majlis Ekonomi itu, kategori kenderaan itu tidak lagi boleh membeli bahan berkenaan pada harga RM1.481 sen seliter.
Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan itu masih lagi menikmati subdisi dengan pengambilan di stesen minyak pada harga RM1.80 seliter.
Kategori kenderaan yang terlibat adalah Penggerak Utama, Kargo Am, Luton Kotak, Van (Panel Van, Semi Panel Van dan Window Van), Lori-Rigid Minuman Botol, Lori Tangki Rigid-Tepung, Lori Rigid-Refrigerated, Lori Tangki Air dan teksi limosin.
[Baca berita penuh]

