Permohonan semakan Peguam Negara - 23 Mei
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 23 Mei untuk mendengar permohonan semakan yang difailkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner pada 5 Januari dalam inkues kematian seorang pembantu politik, Teoh Beng Hock.
Peguam Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh, turut mengesahkan perkara itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.
"Semakan ini sangat penting kepada keluarga berkenaan dalam mencari keadilan bagi Teoh dan ia adalah sebab utama kami tidak menyertai Suruhanjaya Siasatan," katanya.
Keluarga Teoh sudah menarik diri daripada prosiding Suruhanjaya Siasatan.
Dalam keputusannya, Koroner Azmil Muntapha Abas berkata kematian Teoh pada 2009 bukanlah membunuh diri atau dibunuh.
Teoh, Setiausaha Politik Ahli EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor di tingkat 14 bangunan yang sama.
Karpal Singh turut menyatakan bahawa permohonan semakan oleh keluarga Teoh berhubung prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, akan didengar pada 6 Jun di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir.
Azmil Muntapha yang mendengar permohonan itu semasa inkues, memutuskan bahawa tiada keterangan yang jelas atau kukuh bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Mohd Nazri kononnya pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunan seorang "pembohong" adalah percubaan untuk campur tangan dalam inkues berkenaan.
- Bernama

