Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus bagi suku pertama 2011, berbanding 10.1 peratus yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu, didorong oleh permintaan tempatan yang kukuh dan permintaan luar yang meningkat.

Pada 2010, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.2 peratus dan pertumbuhan sederhana 4.8 peratus pada suku akhir tahun itu.

NONE Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, kesederhanaan pertumbuhan antara suku keempat 2010 dan suku pertama tahun ini adalah berikut kemunculan risiko luaran, di antaranya, bencana alam di Jepun, kebimbangan berterusan hutang kerajaan Kesatuan Eropah, harga komoditi yang meningkat dan tekanan inflasi global.

Beliau berkata, permintaan tempatan yang kukuh menyokong pertumbuhan.

"Agregat permintaan domestik meningkat 6.6 peratus berbanding 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku keempat tahun lepas,” katanya ketika mengumumkan keputusan suku pertama KDNK di Kuala Lumpur hari ini.

Zeti juga berkata harga komoditi yang lebih tinggi dan pertumbuhan mapan rantau ini juga telah meningkatkan permintaan luaran, dengan perkembangan luas pada eksport, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi dan eksport bukan elektrik dan elektronik yang berterusan.

- Bernama