Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti awal bulan depan.

    

Nasrudin yang dipilih sebagai ketua Pemuda PAS dalam pemilihan parti 2009 ketika mengesahkannya hari ini berkata beliau mahu meneruskan beberapa agenda yang belum sempat dilaksanakan.

    

NONE “Ya, saya akan mempertahankan jawatan (Ketua Pemuda PAS). Ramai calon lain berpotensi serta mempunyai kelayakan yang baik, namun saya serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan," katanya dalam jawapan ringkas ketika dihubungi Bernama.

    

Turut dicalonkan dan layak bertanding bagi jawatan ketua Pemuda PAS ialah timbalan ketua Pemuda PAS Azman Shapawi Abd Rani, ketua penerangan Pemuda, Suhaizan Kaiat dan pengarah pilihan raya Pemuda PAS Mohd Firdaus Jaafar.

    

Bagaimanapun Azman ketika dihubungi berkata beliau hanya akan mempertahankan kerusi timbalan ketua Pemuda yang disandangnya sekarang sekiranya Nasrudin mengumumkan akan mempertahankan jawatan ketua Pemuda.

    

“Sekiranya Nasrudin pertahankan jawatan ketua Pemuda, saya juga akan hanya mempertahankan jawatan timbalan (ketua Pemuda),” katanya.

    

NONE Seorang lagi pemimpin Pemuda PAS yang dicalonkan, Mohd Firdaus Jaafar berkata beliau hanya akan bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PAS manakala Suhaizan ( kanan ) pula berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pencalonan itu.

    

Selain jawatan ketua Pemuda PAS, keempat-empat pemimpin Pemuda PAS itu turut dicalonkan bagi jawatan lain termasuk timbalan ketua Pemuda dan juga naib ketua Pemuda.

    

Untuk ketua Muslimat PAS, masih belum dapat dipastikan sama ada penyandang Nuridah Mohd Salleh akan dicabar dalam pemilihan kali ini memandangkan mereka yang dicalonkan masih belum membuat sebarang keputusan.

    

Mereka yang dicalonkan bertanding ketua Muslimat PAS termasuk Timbalan Ketua Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, dua anggota Jawatankuasa Kerja Muslimat PAS Dr Siti Mariah Mahmud dan Asiah.

    

Keputusan akhir calon-calon yang akan bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini.