Ketua Pemuda MIC Perak letak jawatan
Ketua Pemuda MIC Perak K Muraalie melepaskan jawatan yang disandangnya sejak September 2009 berkuatkuasa serta merta untuk memberi laluan kepada calon yang lebih layak.
Katanya beliau akan menghantar surat peletakan jawatannya kepada presiden MIC Datuk G Palanivel esok.
"Selepas perjumpaan dengan pengerusi MIC negeri Datuk S Veerasingam dan ketua Pemuda MIC T Mohan Sabtu lepas, saya memilih untuk melepaskan jawatan ini.
"Bagaimanapun saya akan menjaga nama baik parti dan memberi sokongan kepada Ketua Pemuda negeri yang baru," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Baru-baru ini, 18 ketua Pemuda MIC bahagian di Perak menghantar memorandum kepada Veerasingam dan Mohan bagi melaporkan "sesuatu" dan meminta agar Muraalie diganti.
Muraalie berkata beliau bagaimanapun tidak akan melepaskan jawatannya sebagai ketua Pemuda MIC bahagian Pasir Salak dan anggota exco Pemuda MIC.
Veerasingam ketika dihubungi berkata tindakan oleh Muraalie itu adalah bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih baik dalam parti.
- Bernama

