Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, muktamar parti Islam itu yang ke-57 pada 3 hingga 5 Jun ini akan menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

hadi awang and pas "Pemilihan pada muktamar kali ini akan dapat memperkemas dan membersihkan parti dan menguatkan jentera pilihan raya," Abdul Hadi dipetik sebagai berkata oleh Bernama .

Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan, Abdul Hadi yakin PAS akan terus menguasai Kedah pada pilihan raya umum akan datang kerana ia telah mentadbir negeri itu dengan cemerlang.

Katanya walaupun tidak sampai satu penggal memerintah, banyak perkara dilaksanakan oleh kepimpinan PAS di Kedah untuk rakyat seperti menurunkan kadar kemiskinan dan membayar hutang kerajaan pusat.

"Insya-Allah kita akan dapat mempertahankan Kedah dan harap tidak menjadi macam Terengganu pada 2004," katanya merujuk kepada pemerintahan PAS hanya untuk satu penggal di Terengganu sebelum BN memenangi semula negeri itu.

azizan abdul razak pas and kedah Abdul Hadi, yang ditemui semasa melawat ladang nanas milik anak syarikat kerajaan Kedah di Bukit Kayu Hitam, berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan PAS Kedah bahawa ia telah menunaikan 80 peratus daripada janji dalam manifesto parti itu pada pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 adalah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya memindahkan pengundi secara besar-besaran.

Abdul Hadi juga mendakwa SPR melakukan pemindahan pengundi secara besar-besaran di Kedah dan Selangor untuk memenangkan BN di kedua-dua negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.