Kes saman Syabas ke atas Tony Pua - 20 Jun ini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Jun untuk pengurusan kes saman Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terhadap ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung kenyataan fitnah di dalam akhbar berbahasa Cina.
Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini.
Syabas memfailkan saman fitnah ini pada 28 Januari lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Sreenevasan Young.
Menerusi penyataan tuntutan, Syabas mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah pada 16 Nov 2010 itu, reputasi perniagaan Syabas telah diperkecil-kecilkan dan dicemuh masyarakat hingga membawa kerugian kepada mereka.
Syabas menuntut satu injunksi untuk menghalang sama ada melalui Tony Pua sendiri atau agennya daripada menerbitkan perkataan fitnah terhadap Syabas.
Selain itu, Syabas juga menuntut ganti rugi am, faedah 8 peratus setahun dan kos.
Bagaimanapun menerusi kenyataan pembelaan pada 14 Mac lalu, Tony menafikan bahawa beliau mengeluarkan perkataan fitnah itu dan mendakwa permohonan Syabas adalah tidak wajar serta tidak terdapat apa-apa asas pun untuk perintah injunksi terhadap defendan.
Beliau memohon supaya permohonan Syabas ditolak dengan kos.
- Bernama

