Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menasihatkan semua pihak supaya tidak mendengar pandangan pihak yang tidak berkenaan dalam pertikaian berhubung syarat prakelayakan untuk membida projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT).

NONE Sebagai pihak yang kuat menggesa kerajaan melonggarkan syarat itu, presidennya Datuk Mokhtar Samad berkata, bukan semua pihak layak membicarakan sesuatu isu, terutamanya jika perkara itu bukan bidangnya.

"Ini semua orang hendak bercakap. Sebagai contoh, kalau seorang itu nelayan atau penjual ikan, tidak bolehkan bercakap soal ekonomi (dalam konteks lebih besar)," katanya dengan kesal.

Sebelum ini, enam NGO Melayu dilaporkan membantah syarat tambahan kepada kontraktor yang berminat dengan projek MRT kerana didakwa menafikan hak 40,000 kontraktor bumiputera untuk terbabit.

Kumpulan itu, antaranya PERKASA, Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F, Persatuan Pengilang Pembekal Kontraktor Industri Elektrikal, Elektronik dan ICT Melayu Bumiputera serta Gabungan NGO Bumiputera dan Gabungan Kontraktor Tulen Wibawa (Guild).

Setelah kuat digesa PKMM dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syarikat Prasarana Negara Bhd pada 20 Mei lalu dilaporkan menyemak semula kriteria prakelayakannya bagi pakej pembinaan kerja sivil, stesen dan depot MRT Sungai Buloh-Kajang.

Kontraktor yang berminat dibenarkan membentuk usaha sama atau konsortium di kalangan syarikat tempatan untuk membida pakej kontrak kerja itu.

Sebelum itu DPMM mahu kerajaan menyerahkan keseluruhan MRT kepada mereka dengan alasan syarikat bumiputera gagal mendapatkan sebarang tender berhubung projek berkenaan.

Manakala PKMM pula dilaporkan menagih jaminan yang diberi oleh Pengarah Urusan PRASARANA, Shahril Mokhtar bahawa  kontraktor Bumiputera tidak akan diketepikan dalam projek itu.

Mampu, kecuali 'teknikal tinggi'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mokhtar berkata, pihaknya kini berpuas hati dengan tindakan PRASARANA melonggarkan syarat prakelayakan, antaranya dengan membenarkan usaha sama atau konsortium kontraktor tempatan untuk membida projek bernilai RM36 bilion itu.

NONE Mokhtar berkata Bagaimanapun, tambahnya, menjadi kebiasaan jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan perkara itu.

"Dalam seratus orang, pasti ada seorang yang puas hati walaupun 99 orang bersetuju. Perkara ini tidak akan selesai sampai kiamat," katanya dengan nada berseloroh.

Ditanya tentang keupayaan kontraktor Melayu dalam menjayakan projek itu, Mokhtar menjawab, kecuali bidang yang memerlukan keupayaan teknikal tinggi, orang Melayu mampu terlibat dalam semua bidang lain.

"(Sebagai contoh) Kalau di lapangan terbang, kita boleh cat kapal terbang, boleh cuci kapal terbang, cuma kita tidak boleh buat enjin jet," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, PRASARANA akan menganjurkan sesi taklimat kepada kontraktor berhubung perkara itu di Petaling Jaya esok pagi.

“Prasaranan sentiasa sensitif kepada semua pandangan konsturuktif dan pendirian ini tergambar dalam keputusannya, yang dibuat berdasarkan keperluan mendapatkan penyertaan lebih ramai kontraktor dan bagi menjadikan projek MRT lebih berdayasaing,” kata pengarah urusannya Shahril Mokhtar.