Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gesaan supaya kerajaan membuka 'kontrak rahsia' dengan pengeluar kuasa bebas (IPP) kembali digiatkan apabila kerajaan mengumumkan untuk sedang menyemak semula subsidi gas yang diberikan kepada sektor ini.

Idris yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa beberapa kontrak telah tamat dan subsidi yang ditawarkan akan dikemukakan untuk dikaji semula.

"Ia sedang dirunding semula. Rundingan sedang dibuat dan kami telah merumuskan sebahagian daripadanya. Dalam masa sepatutnya, kami akan membuat satu pengumuman," kata Idris.

Masalah ketelusan dan penelitian merupakan antara sebab yang menyumbang kepada kontrak berat sebelah yang telah ditandatangani kerajaan dengan IPP generasi awal pada awal tahun 1990-an.

Bagaimanapun, kesilapan ini nampaknya mungkin akan berulang kerana maklumat berhubung semakan semula kontrak sedia ada dan juga rundingan kontrak baru tidak didedahkan.

"Semua kontrak berkaitan dengan subsidi dan kepentingan awam, terutama sekali dalam bidang kemudahan awam perlu diumumkan," kata ahli parlimen Klang Charles Santiago dari DAP.

Beliau juga mencadangkan supaya Parlimen diberikan satu ruang untuk bersuara dalam proses perundingan dengan IPP.

"Kerajaan sepatutnya mengemukakan satu cadangan perjanjian yang perlu diteliti oleh satu jawatankuasa terpilih parlimen. Setelah ia disokong oleh Parlimen barulah ia sepatutnya ditandatangani secara rasmi oleh kerajaan dan syarikat swasta.

"Ini menyediakan dua peringkat penelitian – kerajaan dan Parlimen – untuk memastikan bahawa kontrak-kontrak sedemikian berada dalam kepentingan orang ramai," katanya ketika dihubungi.

ADS