Pengarah sebuah NGO penganut Syiah Ar-Ridha Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan empat pengikutnya semalam sebagai tindakan biadap dan suatu bentuk penindasan.
Ini kerana dakwanya, agensi kerajaan itu menahan mereka tanpa waran dan tidak mengikut saluran undang-undang yang betul.
"Tindakan JAIS dalam membuat serbuan dan menahan empat anggota Syiah adalah bercanggah dengan Artikel 11, Perlembagaan Malaysia, yang menyebut agama Islam sebagai agama rasmi dan penganut-penganut agama lain bebas untuk mengamalkan ajaran agama mereka," kata Mohd Kamilzuhairi ( atas, berseluar cokelat ).
Beliau berkata mereka ditahan kerana didakwa menyebarkan ajaran mazhab Syiah walaupun majlis itu sekadar majlis jamuan makan yang diadakan setiap tahun bagi mengingati kelahiran puteri Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra.
Semalam, beliau bersama tiga lagi rakannya - Radin Ahmad Faizul Radin Mohd Hambali, Mohd Asyraf Ahmad dan Syed Mohd Shafik Syed Hussin – ditangkap ketika mengadakan satu majlis jamuan makan yang berlangsung di Dataran Rakyat, Taman Sri Gombak.
Dalam kenyataannya, beliau berkata semasa serbuan itu, lebih 1,000 tetamu daripada pelbagai bangsa dan agama dalam konteks 1Malaysia sedang menjamu selera dan tindakan menahan mereka adalah sesuatu yang memeranjatkan serta tidak wajar.
"Ini kerana pihak penganjur telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Selayang, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (Rela) untuk menganjurkan majlis tersebut," katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak JAIS menggugurkan segala pertuduhan ke atas mereka kerana mendakwa majlis tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
Katanya, mereka juga akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 7 Jun depan.
Sementara itu, kumpulan berkenaan juga membuat laporan polis berhubung dua artikel yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 23 Mei 2011 bertajuk "Masyarakat mesti disebar luas bahaya Syiah" dan "Tiada sebab terima Syiah di Malaysia" semalam. Kedua-dua artikel itu tulisan Hasliza Hassan
Mohd Kamilzuhairi berkata pihaknya juga akan menganjurkan solat hajat di seluruh negara atas sikap biadap JAIS itu.