Pemilik lantik peguam rayu anjingnya tidak dihukum
Pemilik kepada anjing yang menyerang dan menggigit seorang rakyat Ireland hingga mati Januari lalu hari ini melantik peguam bagi merayu agar anjing terbabit tidak "dilupuskan".
"Saya dan isteri Teoh Bee Eng melantik peguam supaya empat anjing jenis pit bull itu tidak dilupuskan kerana arahan yang dikeluarkan mahkamah terhadap kesemua anjing itu bersifat terbuka," kata Joseph Teoh Boon Aun, 42, kepada pemberita selepas melawat kesemua anjingnya itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Timur Laut di Georgetown hari ini.
Beliau berkata, peguam beliau dari Tetuan Jerald Gomez & Associate menghantar dua pucuk surat rayuan kepada Ketua Pengarah Bahagian Unit Undang-Undang Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri baru-baru ini.
Katanya, dalam surat rayuan itu, beliau memohon pihak berkuasa supaya mempertimbangkan hasrat mereka untuk memelihara semua anjing terbabit termasuk dua anjing lain yang tidak terbabit dalam kejadian itu.
Pada kejadian 9 Jan itu, Sullivan Maurice, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan dan muka serta kedua-dua telinganya putus selepas diserang oleh dua anjing ketika sedang merakamkan gambar pokok-pokok durian di ladang milik Teoh di Teluk Bahang.
Pada 4 April lalu, Mahkamah Majistret Balik Pulau memerintahkan supaya Teoh didenda RM8,000 atas kesalahan tidak mengenakan kolar keselamatan dan lencana pendaftaran terhadap anjing-anjingnya.
Majistret Mohd Hidayat Wahab turut memerintahkan semua anjing berkenaan diserahkan ke Rumah Sakit Haiwan MPPP untuk dilupus, dimusnah atau lain-lain tindakan yang bersesuaian.
Anjing-anjing itu kini ditempatkan dalam kurungan di Jabatan Veterinar Daerah Timur Laut.
- Bernama

