AV Asia Sdn Bhd hari ini gagal dalam usahanya untuk menghalang Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Measat) daripada membeli piring satelit dari sebuah syarikat pengeluar piring satelit.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan syarikat itu yang membekalkan peralatan sokongan televisyen, bagi injunksi untuk menghalang Measat daripada membeli piring satelit daripada Tele System Electronic (M) Sdn Bhd.

astro satellite dish Syarikat itu memfailkan injunksi terhadap Measat dan Tele System, berhubung saman RM1.3 bilion yang difailkannya pada 28 September tahun lepas terhadap Measat dan Tele System, mendakwa Measat menggunakan maklumat sulit milik AV Asia yang membolehkan Astro melancarkan produk Astro B.yond High Definition (HD).

Peguam RS Sodhi yang mewakili AV Asia memberitahu pemberita bahawa hakim memerintahkan syarikat itu membayar kos RM50,000 kepada Measat dan kos RM10,000 kepada Tele System bagi permohonan injunksi itu.

Beliau berkata hakim juga menolak permohonan Tele System untuk membatalkan saman itu dengan kos RM10,000.

Pada 10 Dis, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed memerintahkan saman itu diselesaikan menerusi timbang tara selepas mahkamah membenarkan permohonan Measat untuk saman itu didengar secara timbang tara.

Hakim Azahar memutuskan oleh kerana AV Asia dan Measat bersetuju untuk merujuk pertikaian melibatkan "perjanjian tidak boleh dedah" itu ke timbang tara, perkara itu perlu dihormati.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, AV Asia telah mengemukakan rayuan di mana Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan itu.

Proses timbang tara masih belum dimulakan kerana AV Asia telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam saman itu, AV Asia mendakwa Measat telah mendedahkan maklumat sulit kepada Tele System yang sebelum itu adalah syarikat yang menghasilkan reka bentuk piring satelit Measat dan melakukan ujian ke atas piring itu.

AV Asia menyatakan pada Mei 2008, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mencadangkan Measat menjalankan kajian terhadap penggunaan saiz dan reka bentuk piring satelit itu bagi mengurangkan gangguan transmisi satelit semasa hujan.

    

Syarikat itu berkata pada Jun 2008, ia meminta sebuah syarikat Jepun, Maspro, menjalankan kajian dan pembangunan untuk membangunkan piring satelit

yang berdaya tahan terhadap hujan bagi pasaran Malaysia.

AV Asia mendakwa ia dan Measat ketika itu telah menandatangani "perjanjian tidak boleh dedah" bertarikh 1 Ogos, 2008 berkaitan dengan pertukaran maklumat sulit.

Pada Februari 2009, Measat telah memberitahu AV Asia bahawa ia akan mengeluarkan tempahan pembelian kepada AV Asia sebaik sahaja syarikat itu menandatangani kontrak vendor Measat.

AV Asia mendakwa pada Mei 2009, Measat sebaliknya mempelawa pembida untuk mengemukakan tender untuk membekalkan piring satelit kepadanya yang serupa dengan apa yang terkandung dalam "perjanjian tidak boleh dedah" itu.

Ia mendakwa Measat telah mendedahkan maklumat sulit tertentu kepada para pembida dalam tawaran tender buat kali kedua pada Julai 2009.

- Bernama