Majlis Kerja Tertinggi Umno mengambil keputusan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan agung depan.

Setiausaha Agung Datuk Seri Khalil Yaakob mengumumkan tengah hari ini bahawa MT juga membuat keputusan mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Abdullah Badawi memegang dua jawatan tertinggi parti.

"Majlis Tertinggi sebulat suara bersetuju jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertandingkan. Ini bermakna pencalonan Mahathir sebagai presiden dan timbalan presiden tidak akan dicabar," Khalil memberitahu wartawan selepas mesyuarat selama empat jam.

MT juga memutuskan perhimpunan agung parti diadakan lebih awal daripada kebiasaanya pada Jun. Perhimpunan dan pemilihan itu akan diadakan empat hari mulai 10 Mei depan.

Sebelum mesyuarat tersebut, spekulasi sudah meluas bahawa Umno akan memastikan dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan untuk mengurangkan perebutan kuasa dalam parti.

"Satu langkah yang baik kerana kami tidak memerlukan sebarang perebutan kuasa dalam parti. Kami perlukan perpaduan," jelas Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Tan Sri Aishah Ghani kepada malaysiakini .

Keputusan MT itu akan mengukuhkan peluang Abdullah untuk menggantikan Mahathir.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya langkah MT Umno itu akan menghalang tokoh-tokoh baru menduduki jawatan-jawatan utama parti ekoran imej parti yang semakin merosot selepas kekalahan parti yang buruk dalam pilihanraya umum lalu.

"Menilai keputusan pilihanraya umum lalu, semua orang tahu pengaruh Umno sudah merosot. Sudah sampai masanya kepimpinan parti ditukar," kata pengamat politik Dr Hussain Mohamed dari Universiti Malaya. Beliau menambah peluang muka-muka baru memegang jawatan parti kini hampir mustahil

Menurut Hussain, keputusan tidak mencabar dua jawatan tertinggi parti itu menggelapkan peluang beberapa tokoh utama parti tersebut. Beliau berkata langkah itu merupakan isyarat jelas kepada bekas pemimpin Semangat 46 Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau tidak mempunyai masa depannya dalam parti itu, manakala Naib Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak melalui jalan sukar bagi mengekalkan jawatan yang disandangnya kini.

Dalam pemilihan agung Umno pada 1996, dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan ekoran resolusi khas yang telah diambil pada perhimpunan agung Umno pada tahun sebelumnya. Keputusan itu menimbulkan kebimbangan mungkin terdapat penyalahgunaan dan pemusatan kuasa di tangan segelintir pemimpin utama Umno.

Sikap yang diambil oleh anggota-anggota MT juga mendapat kritikan dari pemimpin parti-parti pembangkang.

"Langkah anggota-anggota MT memaksa keputusan itu kepada para perwakilan tidak mengikut perlembagaan. Di sisi perlembagaan parti, hak untuk mencalonkan jawatan presiden dan timbalan presiden adalah milik perwakilan," kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Chandra Muzaffar.

Bagaimanapun, menurut Aishah, MT "mempunyai kuasa tertinggi dan mutlak untuk memutuskan hampir semua perkara."

Presiden PRM Dr Syed Husin Ali percaya arahan tidak ada pertandingan akan hanya menguntungkan Mahathir untuk jangka masa panjang.

"Langkah ini akan membangkitkan perasaan benci dan marah di kalangan ahli-ahli kerana Mahathir tidak membenarkan sesiapa pun mencabarnya," katanya.

Tumpuan ramai selepas ini ialah perebutan sengit antara tokoh-tokoh kanan parti dan mereka yang bernasib baik untuk mendapatkan tiga jawatan naib presiden.

Antara mereka yang sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding ialah bekas Timbalan Presiden Semangat 46 Datuk Dr Rais Yatim, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Luar Datuk Seri Hamid Albar.

Jawatan naib presiden dijangkakan menghadapi persaingan sengit kerana ia mencerahkan peluang tokoh-tokoh terbabit untuk naik ke jawatan nombor dua parti apabila Mahathir mengumumkan kali ini merupakan penggal terakhir beliau.