China sokong usul wujudkan SPV di laut
China menyatakan sokongan terhadap usul Malaysia agar sebuah jentera kegunaan khas (SPV) diwujudkan sebagai landasan perkongsian kegiatan ekonomi di Laut China Selatan.
Ketika menyatakan sokongannya, Menteri Pertahanan China Jen Liang Guanglie berkata semua pihak berkepentingan wajar berhemah dalam kegiatan di kawasan itu dan patut bekerjasama.
"Kita tidak mahu kestabilan dan keamanan di kawasan itu dijejaskan oleh impak negatif," katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-10: Dialog Shangri-La, anjuran Institut Antarabangsa bagi Kajian Antarabangsa (IISS), di Singapura.
Liang diminta mengulas mengenai usul Malaysia agar sebuah SPV diwujudkan untuk membolehkan semua negara berkepentingan berkongsi menjalankan kegiatan ekonomi di Laut China Selatan.
Mengulas lanjut, Liang berkata Perdana Menteri China Wen Jiabao ketika lawatannya ke Malaysia pada April lepas telah membincangkan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, Liang berkata beliau juga telah menyatakan pendirian China yang komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan pada sidang tersebut.
Pada 2002, China dan negara anggota Asean menandatangani Deklarasi Kod Etika mengenai Laut China Selatan yang memperakui semua pertelingkahan dan tuntutan di kawasan itu diselesaikan menerusi perbincangan dan rundingan secara langsung oleh negara terbabit.
Liang berkata China juga sentiasa berdialog dan berbincang dengannegara-negara Asean berhubung pelaksanaan deklarasi tersebut.
--Bernama

