Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi tak mahu jawatan PM jika Pakatan menang
Diterbitkan:  Jun 8, 2011 9:22 AM
Dikemaskini: 10:14 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

NONE “Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam.

Memetik laporan Bernama , Abdul Hadi mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam Pakatan Rakyat, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Nazri juga mendakwa peluang Umno untuk meraih lebih banyak undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih cerah selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam tetapi sebaliknya memperjuangkan ‘negara berkebajikan’ di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Abdul Hadi juga menafikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai liabiliti kepada parti setelah beliau dipilih oleh perwakilan pada pemilihan ketika muktamar PAS minggu lalu.

NONE “Bagi Umno, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan Umno,” katanya.

Abdul Hadi turut menafikan bahawa wujudnya anggota parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu setelah beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini. Sebaliknya, katanya PAS mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan Pakatan Rakyat.

Malahan, katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya.

ADS