Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan bekas-bekas ekspatriat supaya menengahkan potensi pelaburan di Malaysia.

Menurut baginda, sebagai pegawai dagang yang pernah berkhidmat di Malaysia, mereka sudah pasti telah melihat peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan.

Bertitah selepas mengadakan perjumpaan dengan bekas ekspatriat Jepun yang pernah berkhidmat di Malaysia di Sheraton Kobey Bay Hotel & Towers di Kobe malam tadi, baginda yakin mereka mempunyai keupayaan untuk memberi maklumat kepada pelabur tentang potensi pelaburan di negara ini.

Baginda yang mengetuai delegasi Malaysia dalam program "Lets Go Jalan-Jalan" anjuran MASHolidays dan BMC Travel Sdn Bhd selama seminggu di Jepun bertitah produk-produk Malaysia yang bersesuaian dengan citarasa pengguna Jepun juga boleh diperkenalkan oleh bekas-bekas ekspatriat.

Raja Muda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di Jepun sejak 8 Jun lalu dan tiba di Kobe dari Kyoto semalam.  Turut menyertai baginda ialah Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Hasnul Hassan.

Mengenai peluang pelaburan di Perlis, baginda bertitah, antara yang dilihat berpotensi ialah industri halal, logistik dan pelancongan kerana ia sejajar dengan usaha kerajaan membangunkannya.

Sementara itu, bekas ekspatriat Jepun di Malaysia, Sadao Tanaka, 64, berkata, beliau melihat Malaysia termasuk Perlis mempunyai iklim pelaburan yang bagus.

Tanaka adalah bekas pengarah urusan Shorubber, sebuah kilang pengeluar sarung tangan di Perlis selama 18 tahun.

Bagaimanapun, beliau kembali menetap di Hyogo dengan tugas baru sebagai Penasihat Teknikal bagi Showa Glove Co, syarikat induk kepada Shorubber.

Tanaka berkata, selama 18 tahun di Perlis, beliau mula serasi dengan Malaysia dan mula rindukan makanannya termasuk nasi goreng dan budaya murni masyarakatnya khususnya di Perlis.

Menurutnya, semasa Shorubber mula dibangunkan di Perlis pada 1992, kilang itu beroperasi dengan hanya 300 pekerja tetapi kini ia berkembang kepada lebih 2,500 pekerja.

Tanaka berkata, beliau bukan sahaja mengenali rapat penduduk Perlis kerana kebanyakan pekerja kilang itu dari negeri itu tetapi juga rapat dengan Istana Perlis.

Katanya, pihak istana pernah melawat kilang Shorubber dan beliau juga sering menghadiri majlis-majlis yang membabitkan istana.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, hubungan rapat yang sentiasa terjalin antara pihak Malaysia dan ekspatriat memudahkan banyak urusan.

--Bernama