Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mungkinkah PBS alami perubahan kepimpinan?
Diterbitkan:  Jun 12, 2011 1:25 PM
Dikemaskini: Jun 13, 2011 12:50 AM

Sejak dua minggu lepas, tersebar spekulasi bahawa barisan kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mengalami perubahan apabila pemimpin tertingginya dikatakan sedang menyusun pelan peralihan kuasa.

    

biomalaysia 2008 071008 maximus ongkili Spekulasi ini menjadi semakin panas apabila timbalan presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ( kanan ) dilaporkan telah memindahkan pangkalan politiknya ke kampung halaman beliau di Tambunan setelah keluarganya dikatakan membina sebuah rumah besar di kawasan tanah peninggalan nenek moyang mereka tidak jauh dari kediaman bapa saudaranya, yang juga presiden parti itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

    

Pairin adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan dan Anggota Parlimen Keningau.

    

Pairin, 71, dipercayai sedang berura-ura untuk mengurangkan peranannya sebagai pemimpin masyarakat setelah menjadi Adun Tambunan selama 35 tahun iaitu sejak beliau bersama Berjaya pada 1976.

    

Beliau juga merupakan "Huguan Siou" atau pemimpin utama Kadazandusun, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, presiden Pertubuhan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan anggota pelbagai jawatankuasa, termasuk Jawatankuasa Tokoh Terkemuka Asean.

NONE Sekiranya Pairin ( kiri ) berundur sebagai pemimpin tertinggi PBS, nampaknya, sebagai timbalan presiden kanan PBS dan timbalan presiden KDCA, Maximus, 58, adalah pemimpin paling layak dan tepat untuk mengambil alih jawatan itu.

    

Bagaimanapun, dalam temu bual dengan Bernama, Maximus menolak andaian akan berlaku rombakan kepimpinan dalam PBS kerana setakat ini, Pairin tidak pernah membayangkan akan berundur sebagai presiden parti itu.

    

"Tidak timbul isu pertukaran kepimpinan parti. Saya akan terus berkhidmat sebagai timbalan presiden," katanya.

    

Penganalisis politik dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah Dr Bilcher Bala berkata kepimpinan PBS sekarang masih begitu relevan.

    

"Setakat ini, Huguan Siou (Pairin) masih sihat. Beliau juga mampu menerajui PBS untuk satu penggal lagi, sama seperti presiden PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) Tan Sri Abdul Taib Mahmud," katanya.

    

Beliau berkata sekiranya Pairin mengambil keputusan untuk berundur, maka PBS akan menghadapi masalah untuk mencari pengganti beliau, sama seperti keadaan yang dihadapi PBB sekiranya Taib berundur sebagai presidennya.

    

"Sampai bila Pairin bercadang untuk menyandang jawatan presiden bukan menjadi isu bagi parti itu. Setakat ini, kepimpinan dalam PBS agak harmonis. Beliau (Pairin) masih berupaya berkhidmat untuk satu penggal lagi," katanya.

    

Bagaimanapun, para pemerhati berkata Maximus, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995, tetap merupakan calon utama untuk menggantikan Pairin sekiranya tokoh politik terkenal Sabah ini berundur.

    

Walaupun telah menjadi Anggota Parlimen selama empat penggal, Maximus masih popular dalam kalangan anggota PBS di peringkat akar umbi, kata mereka.

NONE Dalam pilihan raya umum 1995, Maximus bertanding menentang bapa saudaranya Datuk Dr Jeffrey Kitingan ( kanan ), yang ketika itu bersama Barisan Nasional (BN) dan beliau menang dengan meraih 64 peratus daripada keseluruhan jumlah undi.

    

Pada 1999, ketika PBS menjadi Pembangkang, Maximus mengalahkan calon BN Maijol Mahap bagi kerusi Parlimen Kota Marudu.

    

Dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 pula, iaitu setelah PBS kembali ke pangkuan BN, Maximus terus mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan.

Walau apapun pandangan yang diberi tentang spekulasi itu, namun banyak pihak masih tertanya-tanya betulkah Pairin akan memberi isyarat akan berlaku sebarang perubahan penting dalam barisan kepimpinan PBS.

    

- Bernama

ADS