Pemuda PAS bantah kutipan tol Pasir Gudang-Desaru
Dewan Pemuda PAS Johor membantah kutipan tol di laluan fasa terakhir Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) antara Pasir Gudang dan Desaru, kerana ia hanya mempunyai satu lorong, laluan terlalu sempit dan bahu jalan tidak cukup untuk tujuan kecemasan.
“Laluan ini sangat merbahaya kepada kenderaan khususnya waktu malam kerana kawasannya gelap tanpa lampu jalan yang cukup. Pengguna hanya selesa membawa kenderaan dengan kelajuan 60 km sejam sahaja.
“Apabila berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan, maka lebuh raya ini akan sesak teruk di kedua-dua belah lorong,” kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kayat.
Katanya, Pemuda PAS Johor akan membuat bantahan besar-besaran terhadap kerajaan sekiranya syarikat konsesi berkenaan mengutip tol selepas 10 Julai depan.
"Ini kerana laluan seumpama itu tidak boleh dianggap sebagai lebuh raya. Maka tidak adil kepada pengguna jika dikenakan tol," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
SDE merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Iskandar Malaysia, sepanjang 77 km melingkari Senai, Ulu Tiram, Pasir Gudang dan Desaru.
Kecuali di Pasir Gudang-Desaru, bahagian lain SDE mempunyai dua lorong bagi laluan pergi-balik.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Suhaizan berkata, fasa terakhir lebuh raya tersebut telah dibuka Jumaat lalu tanpa dikenakan bayaran tol selama sebulan.
Menurutnya, kesesakan yang paling ketara dijangka berlaku adalah di laluan menuruni Jambatan Sungai Johor dan tol Desaru sewaktu hujung minggu atau musim cuti.
Katanya, Ini kerana terdapat dua lorong sahaja di laluan atas jambatan itu dan hanya ada dua kaunter tol untuk bayaran tunai.
"Dewan Pemuda PAS Johor ingin mendapatkan penjelasan kerajaan mengapa projek lebuh raya itu di Pasir Gudang–Desaru hanya mempunyai satu lorong.
“Jika kerajaan membenarkan syarikat konsesi ini mengutip bayaran tol selepas 10 Julai 2011 maka Dewan Pemuda PAS Negeri Johor akan membuat bantahan besar-besaran,” katanya.
Laluan tersebut dapat menjimatkan masa perjalanan - jika menggunakan jalan biasa - dari dua jam setengah kepada satu jam sahaja.
Projek itu merentasi Sungai Johor berhampiran Pasir Gudang sepanjang 1.7 km.

