ASNB umum agihan 6.5 sen seunit untuk ASD
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.5 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2011.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM256.73 juta, peningkatan sebanyak 25.19 peratus berbanding RM205.07 juta yang dibayar tahun lalu.
Ia akan memberi manfaat kepada 344,655 pemegang unit yang secara bersama memiliki 3.99 bilion unit ASD.
Ketika mengumumkan agihan pendapatan itu di sini, Ahmad Sarji berkata, melalui strategi pelaburan yang berhemat, tabung ASD telah menjana pendapatan yang selaras dengan keadaan pelaburan semasa.
"Sehingga 9 Jun, tabung ASD telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM332.94 juta berbanding RM261.57 juta yang dicatatkan pada keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010.
"Peningkatan ini adalah selaras dengan prestasi semasa pasaran saham serta peningkatan langganan unit-unit ASD.”
Katanya, penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang RM180.23 juta atau 54.13 peratus, diikuti oleh pendapatan dividen dari pelaburan dalam syarikat-syarikat sebanyak RM113.63 juta atau 34.13 peratus.
Baki selebihnya, iaitu RM39.08 juta diperoleh melalui pendapatan dari pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.
- Bernama

