PKR adakan konvensyen p'raya
PKR akan mengadakan konvensyen pilihan raya di Shah Alam pada Ahad ini.
Ketika dihubungi hari ini, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (
kanan
) berkata pada konvensyen itu, tema pilihan raya, kempen dan logo parti itu akan dilancarkan.
"Kami mengadakan konvensyen ini khusus untuk melancarkan kempen pilihan raya dan tema pilihan raya kami," katanya.
Beliau berkata PKR mengadakan konvensyen itu untuk mempersiapkan jenteranya di peringkat akar umbi kerana tidak mahu terperangkap dengan keadaan tidak bersedia sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat.
Ditanya kenapa PKR mengadakan konvensyennya secara berasingan, tanpa melibatkan parti lain yang menjadi sekutunya, Azmin berkata itulah caranya parti berkenaan mempersiapkan anggotanya di peringkat akar umbi.
"Ini tidak langsung menjadi isu kerana semua dasar pakatan (PKR-DAP-PAS) berpandukan kepada Buku Jingga (yang memuatkan janji pilihan raya pakatan itu)," katanya.
--Bernama

